Muzium Ludwig kembali dibuka kepada pengunjung, namun bersyarat
Agensi
Mei 6, 2020 23:37 MYT
Mei 6, 2020 23:37 MYT
Sebuah muzium di Cologne dibuka semula pada Selasa selepas sekatan yang dikenakan sejak Mac dilonggarkan pihak pemerintah.
Pelonggaran sekatan itu memungkinkan rakyat Jerman kembali mengunjungi beberapa tempat awam.
Walaupun arahan penjarakan sosial masih dikuatkuasakan, pihak berkuasa pada minggu lalu sepakat untuk membuka kembali taman permainan, gereja dan institusi budaya seperti muzium dan zoo yang ditutup akibat penularan COVID-19.
Muzium Ludwig di Cologne dibuka semula dengan syarat kakitangan dan pengunjung harus memakai penutup hidung dan mulut selain kaunter tiket dipisahkan dari para pengunjung dengan panel kaca.
Tanda jarak juga diletakkan dilantai muzium bagi membantu pengunjung mengekalkan jarak yang selamat.
Selain itu, jumlah pengunjung tidak boleh melebihi 400 orang dalam satu-satu masa dan kakitangan keselamatan harus memastikan tidak terlalu ramai pengunjung berada di kawasan muzium yang sama.
Data Johns Hopkins University mendedahkan, Jerman merekodkan lebih dari 167,000 kes positif COVID-19 dengan 6,993 kematian.
Pada Isnin, ketua pusat kawalan penyakit di negara itu mendakwa akan ada gelombang kedua jangkitan COVID-19, namun Jerman dilaporkan bersedia untuk menanganinya.