Muzium British gerakkan usaha mencari 2,000 artifak yang dicuri

Agensi
Ogos 26, 2023 07:15 MYT
Dianggarkan sekitar 2,000 artifak termasuk perhiasan emas dan permata telah dicuri dari Muzium British dalam jangka masa yang panjang, namun, dalam masa sama, usaha pemulihan dan menjejaki kehilangan itu sedang berjalan. - Gambar fail AP
Dianggarkan sekitar 2,000 artifak termasuk perhiasan emas dan permata telah dicuri dari Muzium British dalam jangka masa yang panjang, namun, dalam masa sama, usaha pemulihan dan menjejaki kehilangan itu sedang berjalan, kata Pengerusi Muzium, George Osborne pada Sabtu (26 Ogos).
Muzium British yang juga salah satu daripada tarikan paling popular di London memiliki harta peninggalan seperti batu Rosetta, artifak Mesir kuno yang diukir dengan hieroglif dan teks-teks lain pada minggu lalu mengumumkan, seorang daripada kakitangannya diberhentikan selepas barang-barang khazanah dari abad ke-15 hingga abad ke-19 telah didapati hilang dari stor.
Pengarah Muzium British, Hartwig Fischer pula, pada Jumaat lalu mengumumkan akan meletak jawatan selepas mengakui kegagalan dalam siasatan pencurian barang dalam koleksi muzium tersebut.
Osborne yang juga bekas Menteri Kewangan Britain memberitahu radio BBC bahawa tidak semua koleksi muzium itu dijadual atau didaftarkan dengan betul iaitu situasi yang bukanlah unik dalam kalangan institusi besar yang koleksinya dikumpulkan selama beratus tahun.
Sehubungan itu, Osboner berakata, satu siasatan "forensik" sedang dijalankan untuk mengenal pasti apa yang telah dicuri.
"Kami fikir lebih kurang 2,000 barang (dicuri)," katanya.
"Tetapi saya perlu menyatakan bahawa ini adalah angka sementara dan kami masih sedang mencari.
"Kami sudah mula mendapatkan semula beberapa barang yang dicuri," tambah beliau, tanpa memberikan sebarang butiran mengenai apa yang telah dikembalikan atau bagaimana.
Mengulas kejadian kecurian di muzium tersohor itu, Osborne berkata, kegiatan jenayah itu
sudah ‘pasti merosakkan’ reputasi muzium, sambil menggambarkan dirinya sebagai penjaga yang dipercayai terhadap artifak-artifak yang tidak ternilai dari pelbagai budaya di seluruh dunia.
"Itulah sebabnya saya meminta maaf atas nama muzium," ujar Osborne.
Sementara itu, pada Khamis lalu, polis telah mengambil keterangan tetapi tidak mengenakan pertuduhan terhadap seorang lelaki yang tidak disebutkan namanya berkenaan artifak-artifak yang dicuri. - Agensi
#Muzium British #artifak dicuri #George Osborne #Muzium British tarikan popular
;