Muzik hip hop atau country, politik tahu ke mana undi

Dania Zainuddin
November 21, 2019 23:32 MYT
Amerika Syarikat dengan hampir 230 juta penduduk; industri muzik begitu maju hingga mampu menunjuk kaitan kecenderungan politik mengikut genre pilihan.
POLITIK Amerika Syarikat didominasi dua parti - biru Demokrat dan merah Republikan.
Parti Demokrat (simbol keldai) berpegangan liberal berhaluan kiri manakala Republikan (simbol gajah - juga dipanggil GOP atau Grand Old Party) dianggap konservatif berhaluan kanan.
November 2020 Amerika akan mengundi lagi - kali ini untuk memilih Presiden (President of the United States - POTUS) ke-46.
Bagi negara ketiga terbesar di dunia dengan hampir 230 juta penduduk; industri muzik begitu maju hingga mampu menunjuk kaitan kecenderungan politik mengikut genre pilihan.
Sekali imbas, penyokong Republikan lebih ramai yang tergolong sebagai peminat muzik country manakala genre hip hop lebih dikaitkan dengan penyokong parti Demokrat.
Banyak kajian kalangan warga akademik sudah dijalankan dan kaitan ini mampu diguna sebagai data berguna dalam membina strategi pendekatan dan pengenalan bagi tujuan usaha kempen menarik pengundi.
Umum terima realiti parti Demokrat lebih popular dalam kalangan warga penghibur Hollywood, media, kaum pendatang dan pekerja kolar biru. Golongan konservatif kulit putih, golongan elit Wall Street kalangan warga korporat dan penduduk kawasan pedalaman terutama yang bertani secara rawak lebih cenderung menyokong parti Republikan.
Sistem politik Amerika pula cukup matang menerima keadaan pertukaran pentadbiran antara dua parti gergasi ini di mana seorang POTUS hanya layak kekal sebagai Presiden untuk dua penggal sahaja. Ini berbeza dengan negara lain dunia di mana pemerintah begitu ghairah mahu kekal di tampuk kepimpinan, bukan untuk diri sendiri malah diwarisi.
Dalam mencari trend kaitan sokongan ini, wujud percanggahan (outlier) yang kadang-kadang mengejutkan. Umum terima warga Afrika-Amerika (kulit hitam) lebih berat menyokong Demokrat tetapi penyanyi rap Kanye West merupakan peminat tegar Donald Trump.
Kalangan warga penghibur, terdapat bintang country and western yang dikira 'anti' Donald Trump seperti Brad Paisley dan Carrie Underwood berbanding Kenny Rogers dan Kid Rock yang merupakan bintang paling awal menyokong Donald Trump.
Peminat dan penghibur muzik country kini lebih bebas menentang gelombang konservatif namun apa yang berlaku kepada kumpulan Dixie Chicks apabila mereka membidas George Bush kerana tindakan peperangan di Iraq masih segar dalam ingatan.
Sehingga hari ini, reaksi negatif individu yang lantang membantah politik sempit - terutama yand didokong Donald Trump, disifatkan sebagai 'Dixie-chicked’.
Kita nantikan siapa lagu apa akan menumbangkan Trump dan sama ada hip hop atau country akan bergema di 1600 Pensylvania Avenue menyambut POTUS 46 pada Januari 2021 nanti.
#brad paisley #carrie underwood #country and western #Demokrat #hip hop #Kanye West #Kenny Rogers #muzik amerika #potus #Republikan
;