Musk, Zuckerberg sedia bertempur dalam sangkar
Astro Awani
Jun 23, 2023 08:15 MYT
Jun 23, 2023 08:15 MYT
DUA ikon industri teknologi Elon Musk dan Mark Zuckerberg bakal meningkat persaingan antara mereka dengan pertempuran dalam sangkar.
Musk dalam satu ciapan baru-baru ini di akaun Twitter miliknya berkata, beliau bersedia untuk pertempuran itu jika Zuckerberg inginkannya.
Membalas cabaran pesaingnya itu, Zuckerberg dalam reaksinya di Insta Story mengiringi
tangkap layar ciapan itu menulis: "Kirim saya lokasi."
Musk kemudian membuat satu lagi ciapan, kali ini kepada pengarang laman web Verge, Alex Heath berkenaan satu pertempuran yang akan diadakan dengan catatan "Vegas Octagon", rujukan kepada arena di Las Vegas yang menjadi tuan rumah kepada Ultimate Fighting Championship.
"Saya mempunyai satu gerakan yang saya gelar sebagai 'The Walrus' di mana saya akan baring atas pihak lawan dan tidak lakukan apa-apa lain," katanya.
Ketika ini tidak pasti jika kedua-dua jutawan itu hanya bergurau atau benar-benar akan melakukannya.
Namun, jika ia benar berlaku, sukar untuk meramalkan siapa akan menang dalam pertempuran tersebut.
Musk dilihat lebih besar secara fizikal daripada Zuckerberg, namun ketua Meta itu mengamalkan jiu-jitsu iaitu seni mempertahankan diri dari Brazil serta memenangi pingat emas dan perak dalam satu kejohanan pada Mei lepas.
Kaji selidik oleh Oddsepdia yang mengendalikan laman pertaruhan sukan mendapati Zuckerberg mempunyai 83 peratus peluang untuk memenangi perlawanan itu.
Sementara itu, penerima taruhan Paddy Power meramalkan perlawanan itu tidak akan berlangsung sama sekali.
Sebelum ini, kedua-dua jutawan itu pernah bertengkar mengenai masa depan kecerdasan buatan (AI) pada tahun 2017.
Musk memberi amaran mengenai bahaya AI selain menyifatkannya sebagai satu ancaman kepada manusia.
Zucerberg pula, sebaliknya, lebih optimis AI dapat membantu manusia.