Musk mahu ambil tindakan undang-undang ke atas Microsoft kerana guna data Twitter secara haram
Bernama
April 20, 2023 20:40 MYT
April 20, 2023 20:40 MYT
MOSCOW: Usahawan Amerika Syarikat Elon Musk pada Rabu berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas perbadanan Microsoft yang secara haram melatih algoritma kecerdasan buatan (AI) menggunakan data pengguna Twitter, lapor Sputnik.
"Mereka (Microsoft) melatih (AI) secara haram menggunakan data Twitter. Masa untuk mengambil tindakan mahkamah," kata Musk di Twitter.
Pada Januari, Microsoft mengumumkan rancangannya untuk mengintegrasikan AI, ChatGPT khususnya berasaskan suara ke dalam perkhidmatannya seperti Word dan Excel. Microsoft juga mengumumkan pelaburan berbilion dolar dalam pencipta ChatGPT, syarikat OpenAI.
Model bahasa ChatGPT OpenAI, yang dilancarkan pada akhir November 2022, menerima pelbagai reaksi kerana keupayaannya untuk meniru perbualan manusia dan menjana teks unik berdasarkan aksi pengguna.
-- BERNAMA