Musk ancam tarik diri beli Twitter
Sinar Harian
Jun 7, 2022 12:40 MYT
Jun 7, 2022 12:40 MYT
NEW YORK: Bilionair terkaya di dunia, Elon Musk pada Isnin mengancam menarik balik tawarannya untuk membeli perkhidmatan rangkaian sosial, Twitter.
Ancaman itu dibuat selepas rangkaian sosial itu gagal untuk memberikan maklumat mengenai akaun palsu kepadanya.
Twitter telah melanggar kewajipannya di bawah perjanjian penggabungan dan adalah hak Musk untuk tidak melaksanakan transaksi pembelian itu, menurut satu dokumen yang difailkan dengan pihak pengawal selia sekuriti.
Sebelum ini, Musk bersetuju untuk membeli Twitter pada harga AS$$44 bilion (RM193.49 bilion) pada April lalu.
Namun, pengkritik memberi amaran bahawa jika Musk menguasai rangkaian perkhidmatan sosial tersebut, Twitter akan menjadi tempat penyebaran maklumat palsu dan kebencian.
Musk mula membangkitkan tentang akaun palsu yang terdapat dalam Twitter pada pertengahan Mei lalu.
Ketika itu, tindakan Musk tersebut dilihat sebagai cara untuk menamatkan proses pengambilalihan atau untuk menekan Twitter supaya menurunkan harga pembeliannya. - Agensi
* Artikel asal di Sinar Harian