Musim hujan lebat korbankan 36 orang di Pakistan
AFP
April 3, 2016 22:48 MYT
April 3, 2016 22:48 MYT
Sekurang-kurangnya 36 orang terkorban dan 27 lagi cedera selepas hujan lebat melanda di wilayah barat laut Pakistan hingga menyebabkan berpuluh-puluh bumbung rumah runtuh serta rosak.
AFP yang memetik jurucakap agensi pengurusan bencana daerah melaporkan, kematian dilaporkan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa ketika hujan mula mencurah pada malam Sabtu.
Bilangan mereka yang hilang nyawa kini meningkat ke 36 orang, ujar jurucakap itu, sambil menambah pihaknya masih menunggu laporan dari kawasan-kawasan terpencil.
Kawasan yang paling teruk dilanda bencana itu adalah Kohistan dengan catatan mangsa korban sejumlah
12 orang, diikuti daerah Shangla yang mencatatkan 10 kematian akibat hujan, banjir dan tanah runtuh.
Rumah-rumah yang tidak mempunyai struktur kukuh, terutamanya di kawasan luar bandar, adalah yang paling cenderung untuk runtuh dalam bencana hujan lebat.
Cuaca yang dahsyat melanda negara itu setiap tahun, dengan ratusan orang terkorban selain banyak kawasan pertanian musnah setiap tahun. Dalam musim hujan lebat yang lalu, 81 orang kehilangan nyawa manakala 300,000 penduduk terjejas.