Seorang kanak-kanak perempuan di daerah Kebomas, Indonesia didakwa menjadi mangsa rogol jirannya sendiri sejak tahun lepas.

Mangsa yang masih belajar di sekolah rendah di sini dipercayai dirogol jiran berusia 53 tahun itu sebanyak tujuh kali sejak September 2017, lapor portal beritajatim.com.

Kes terbongkar apabila guru mangsa pergi ke rumahnya setelah murid itu kerap tidak hadir ke sekolah.

Soal siasat guru berkenaan langsung membuka pekung suspek yang tinggal berdekatan rumah mangsa.

Ahli keluarga mangsa yang dimaklumkan terkejut dengan pengakuan kanak-kanak itu lalu bergegas ke tempat kerja suspek untuk bersemuka.

Suspek yang bertugas sebagai pengawal keselamatan itu dilapor dibelasah penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Saya lakukan di rumah sebanyak tujuh kali," kata suspek yang mengaku merogol mangsa kali pertama pada September 2017 di rumahnya.

Menurut suspek, mangsa yang ketika itu sedang bermain di depan rumahnya diajak masuk ke bilik sebelum dirogol.

Alasan yang diberikan suspek ialah dia 'jarang melakukan hubungan suami isteri' dengan pasangan hidupnya.

Suspek akan didakwa di bawah Pasal 81 Undang-undang No 35 tahun 2014 akta perlindungan kanak-kanak yang mengenakan hukuman maksimum 15 tahun penjara.