Murid dihukum belajar atas lantai kerana tak bayar yuran sekolah
Sinar Harian
Januari 12, 2025 08:45 MYT
Januari 12, 2025 08:45 MYT
MEDAN: Nasib seorang murid terpaksa duduk di lantai mencetuskan pelbagai reaksi termasuk ahli politik setelah klip video itu menjadi tular di media sosial.
Murid sekolah dasar (SD) kelas empat di Abdi Sukma di Kota Medan, Sumatera Utara di Indonesia dikenali sebagai MA 'dihukum' oleh guru kelasnya kerana mempunyai tunggakan yuran sekolah selama tiga bulan.
Menerusi rakaman video tersebut, ibu murid itu, Kamelia, 38, sebak melihat keadaan anaknya kerana dilayan sebegitu rupa.
"Ibu orang yang berpendidikan dan jauh lebih berpendidikan daripada saya. Setidaknya jangan buat anak saya seperti binatang," kata Kamelia yang ternyata kecewa dengan tindakan guru kelas itu.
Ketika ditemui TribunTangerang.com di rumahnya, wanita itu mengakui keluarganya mengalami masalah kewangan memandangkan suaminya hanya bekerja sebagai tukang buat bangunan.
"Saya merancang untuk membayar yuran itu pada Rabu lalu dengan menggunakan wang hasil jualan telefon bimbit terlebih dahulu.
"Sebelum sempat berbuat demikian, anak saya sudah mengadu dia malu hendak ke sekolah kerana dihukum belajar di lantai oleh gurunya," ujarnya.
Susulan kritikan yang meluas, guru besar sekolah itu, Juli Sari menjelaskan dia tidak tahu-menahu tentang tindakan guru kelas berkenaan dan sudah memohon maaf kepada keluarga murid berkenaan. - Sinar Harian memetik agensi