Mungkir janji pilihan raya, PM Australia hilang populariti
Astro Awani
November 28, 2014 16:33 MYT
November 28, 2014 16:33 MYT
Perdana Menteri Australia Tony Abbott yang satu ketika dahulu begitu kuat mengkritik bekas perdana menteri Julia Gillard atas dakwaan mungkir manifesto pilihan raya kini menerima kritikan sama.
Agensi berita Bloomberg menyebut bahawa Abbott dilihat semakin tidak popular dalam kalangan rakyat susulan tinjauan terbaharu yang menunjukkan pakatan Liberal-National ketinggalan tiga mata di belakang Parti Buruh.
Menurut agensi itu lagi, Abbott dalam manifesto pilihan raya umum pada September 2013, berjanji tidak akan memotong dana untuk program yang popular.
Namun, apa yang berlaku sekarang, kerajaan pimpinannya merancang mengurangkan perbelanjaan untuk sekolah dan hospital sehingga RM230 bilion sepanjang 10 tahun akan datang, selain memotong peruntukan untuk stesen penyiaran, Australian Broadcasting Corp dalam usaha mengekang belanjawan defisit RM139 bilion.
Tindakan itu menyebabkan pembangkang Parti Buruh mempersoalkan kejujuran Abbott, sekali gus memperlekehkan keyakinan umum kepada pakatan Liberal-National.
"Abbott sudah menggunakan sebahagian besar modal politiknya dan sukar untuk beliau mendapatkannya semula," kata bekas pemimpin Parti Liberal, John Hewson yang dipetik oleh Bloomberg.
Katanya lagi, Abbott "menggerakkan kempen yang sangat negatif untuk menang pilihan raya dan beliau kini menerima nasib yang sama."
Menurut Parti Buruh, kerajaan telah mengkhianati kepercayaan pengundi ketika ekonomi sedang merudum.
Ekonomi tumbuh 0.5 peratus pada suku kedua, kurang separuh tempo pada tiga bulan sebelumnya.
Matawang dolar Australia merosot 8 peratus berbanding dolar Amerika sejak akhir Julai, menjadikannya matawang ketiga terburuk antara kumpulan 10 matawang utama.
Integriti Abbott
Serangan pembangkang ke atas kredibiliti Abbott meningkat minggu ini selepas pakatan itu mengumumkan memotong RM593 juta daripada ABC selain daripada RM343 juta yang diumumkan dalam belanjawan Mei lepas.
Stesen penyiaran berusia 82 tahun yang merupakan institusi media paling diyakini di Australia berdasarkan satu kaji selidik, berkata ia terpaksa mengurangkan pekerja sehingga 400 orang, menutup studio dan mengecilkan program serantau.
Pemimpin Parti Buruh, Bill Shorten yang juga ketua pembangkang mengambil kesempatan itu untuk menyerang integriti Abbott dengan menuduh beliau sebagai "berbohong" dan "mencipta rekod dunia mungkir janji pilihan raya".
Abbott menepis kritikan terhadapnya itu dengan mengatakan dasar kerajaan dibentuk oleh keperluan untuk menangani kedudukan belanjawan yang merosot.
"Ini sebuah kerajaan yang pada dasarnya setia kepada rakyat Australia," kata Abbott kepada parlimen.
Semasa menjadi ketua pembangkang, Abbott mengkritik tindakan Gillard yang mungkir janji pilihan raya 2010 apabila memperkenalkan cukai karbon.
Perpecahan dalaman Parti Buruh kemudian menyaksikan Gillard menggantikan Kevin Rudd sebagai perdana menteri sebelum beliau digantikan pula oleh Rudd beberapa minggu sebelum pilihan raya 2013.
Kaji selidik terbaruk oleh Newspoll yang dijalankan antara 14-16 November menunjukkan pakatan Liberal-National mendapat 36 peratus sokongan, merosot hampir 10 peratus berbanding 15 bulan lalu.
Parti Buruh pula mendapat 39 peratus sokongan.
Shorten pula mendahului sebagai tokoh yang dipercayai untuk menjadi perdana menteri dengan 43 peratus sokongan berbanding 37 peratus sokongan kepada Abbott.