Mungkin penat kerja 12 jam, rempuh sampai 5 maut - Polis

Agensi
November 30, 2018 11:06 MYT
Beberapa orang cedera berada dalam keadaan serius manakala kira-kira 10 ambulans dihantar ke tempat kejadian.
Pemandu bas persiaran yang merempuh sebuah teksi hingga menyebabkan lima terkorban dan 32 yang lain parah dalam kemalangan di persimpangan Tsing Yi berkemungkinan mengalami kepenatan gara-gara waktu kerja yang panjang.
Malah, ketika kejadian 4.54 pagi itu pemandu 62 tahun itu telah bekerja 10 jam.
"Pemandu itu hanya diberikan cuti rehat pada 27 November (Selasa lalu) dan sejak itu, dia bekerja 12 jam dari pukul 7 pagi hingga 7 petang.
"Lebih mengejutkan, ketika insiden yang berlaku 4.54 pagi ini, pemandu bas persiaran itu telah bekerja 10 jam. Ada kemungkinan dia penat dan terlebih kerja," kata Unit Penyiasatan dan Sokongan Bahagian Trafik Wilayah-Wilayah Selatan, Supritenden Michael Yip Siu-ming.
Menurut portal South China Morning Post, pemandu bas itu telah memandu bas persiaran tersebut sejak 2007.
Pihak polis juga menjalankan siasatan sama ada pemandu itu di bawah pengaruh alkohol.
Siasatan awal mendapati, kelima-lima mangsa yang meninggal dunia ialah tiga lelaki dan dua wanita iaitu seorang pemandu teksi manakala selebihnya penumpang bas persiaran.
#bas #Hong Kong #kemalangan #teksi #Tsing Yi
;