Mumbai mula lakukan ujian rumah ke rumah tanpa preskripsi doktor

Agensi
Julai 8, 2020 05:24 MYT
Seorang doktor memeriksa suhu badan penduduk di Dharavi, Mumbai, susulan penularan COVID-19, 11 April, 2020. REUTERS/Fail
PIHAK berkuasa Mumbai, salah satu bandar yang paling teruk terjejas akibat COVID-19 di India, mengarahkan orang ramai bersedia menerima kunjungan pasukan perubatan untuk melakukan ujian saringan dari rumah ke rumah tanpa preskripsi doktor.
Langkah yang berkuat kuasa pada Rabu itu berbeza dengan peraturan di kota-kota besar India lain yang mana preskripsi doktor adalah syarat wajib sebelum melakukan ujian tersebut.
Menurut doktor di bandar itu, Meet Waghela, inisiatif yang dilakukan adalah bagi mengesan pesakit COVID-19 sebelum ia merebak dengan lebih menyeluruh di kalangan komuniti.
“Kami melakukan pemeriksaan COVID-19 dari rumah ke rumah untuk mencari kes yang mempunyai simptom sederhana, supaya kami boleh melakukan pencegahan awal.
“Ini kerana, kita sekarang berada di tahap penularan dalam kalangan komuniti,” jelas beliau.
Di Mumbai, seramai lebih 5,000 orang disahkan terkorban akibat COVID-19.
Setakat ini, lebih 200,000 sampel diuji setiap hari, berbanding hanya beberapa ratus pada sebelum ini.
India mencatatkan 22,752 jangkitan baharu dalam 24 jam terakhir, menjadikan jumlah kumulatif 742,417, dan merekodkan 482 kematian baru dalam 24 jam terakhir, menjadikan jumlah terkini angka korban 20,642.
#COVID-19 #Doktor #India #koronavirus #Mumbai #preskripsi #rumah #ujian saringan
;