Mumbai dibadai siklon Biparjoy, operasi penerbangan terjejas
Bernama
Jun 12, 2023 16:24 MYT
Jun 12, 2023 16:24 MYT
NEW DELHI: Operasi penerbangan di Mumbai, terjejas pada petang Ahad akibat cuaca buruk berikutan siklon Biparjoy yang semakin kencang, kata pegawai pada Isnin.
Siklon Biparjoy yang mencetuskan hujan lebat dan angin kencang itu membadai Mumbai apabila melintas di kawasan timur-tengah dan bersebelahan timur laut Laut Arab.
Beberapa penerbangan di lapangan terbang Mumbai dibatalkan atau ditangguhkan dan ada yang terpaksa membatalkan pendaratan, dengan ratusan penumpang terpaksa menunggu berjam-jam untuk penerbangan mereka, lapor Xinhua.
"Keadaan cuaca buruk dan penutupan sementara landasan 09/27 di lapangan terbang Mumbai, serta faktor tambahan lain di luar kawalan kami mengakibatkan kelewatan dan pembatalan beberapa penerbangan," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Air India pada malam Ahad.
Gelombang ombak turut disaksikan di Marine Drive Mumbai pada Isnin dengan amaran ribut petir dikeluarkan untuk beberapa daerah di pantai Maharashtra.
Jabatan Meteorologi India (IMD) memberi amaran bahawa siklon Biparjoy berkemungkinan menyeberangi pantai Saurashtra dan Kutch di Gujerat pada Khamis, dengan kawasan itu akan menyaksikan kelajuan angin mungkin mencecah sehingga 150 kilometer sejam.
-- BERNAMA