Mulut Trump sebar 'virus' terbaharu - Amerika dakwa China punca korona

Razak Chik
Mac 19, 2020 01:06 MYT
COVID-19 melanda dunia, Amerika-China berlaga siapa punca.
PERANG perdagangan melibatkan isu tarif menjejas import-eksport dua hala masih belum berkesudahan.
Kini, penularan COVID-19 digunakan Presiden Amerika Donald Trump untuk mengalih perhatian kepada China sebagai punca bermulanya penyebaran virus korana baharu ini.
Bukan itu sahaja, Donald Trump tanpa segan silu atau sebarang pertimbangan diplomasi, memanggil korona baharu ini sebagai 'Virus China'.
Seorang anggota kanan pentadbiran Trump turut dituduh mengeruhkan keadaan dengan menggelar virus itu sebagai 'Kung Flu'.
Amerika sedang mula terkejut menghadapi cabaran penyebaran COVID-19. Ini berlaku pada waktu China mula menunjuk situasi mula reda akibat tindakan tegas berbulan-bulan mengekang penularan.
Pada awal penularan, berminggu-minggu satu dunia agak leka dan lena melihat bagaimana China begitu cemas bertindak keras terhadap warganya sendiri. Pada awal Januari, virus selesema itu hanya dikenali sebagai virus baharu korona (novel coronavirus).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) begitu hati-hati melakar garis panduan bagaimana virus baharu ini akan diberi nama baharu yang sesuai.
Ini termasuk tidak menggunakan sebarang penanda yang ada kaitan dengan geografi, iaitu menunjukkan tempat (Wuhan, Hubei, China), binatang (kelawar, khinzir, ular) mahupun bangsa (China).
Beberapa minggu penularan barulah WHO menerima cadangan kumpulan pakar epidimiologi dan lahirlah nama Corona Virus Disease tahun 1990 atau COVID-19.
Nampak gaya, Donald Trump tidak sehaluan dengan pemikiran berdiplomasi WHO kerana dengan angkuhnya menyebut virus ini sebagai Virus China (Chinese Virus).
Sebelum itu, Setiausaha Negara Mike Pompeo menyebut koronavirus sebagai 'Wuhan Virus' apabila ditemu bual stesen kegemaran penonton berhaluan politik kanan Fox News.
Kini 'Kung Flu' pula jelmaan terbaharu dalam kalangan ahli pentadbiran Donald Trump yang mengikut rentak rasis, dengan mengukuhkan populariti Presiden dalam kalangan rakyat Amerika yang berhaluan kanan.
Menurut Trump, pendiriannya diambil sebagai tindak balas kepada beberapa pihak di China yang mendakwa Amerika bertanggungjawab menyebar virus itu.
Menurut Trump, China menyebar tohmahan bahawa atlet tentera Amerika diguna sebagai alat penyebar sewaktu mengambil bahagian dalam acara Sukan Militari di Wuhan pada Oktober tahun 2019.
#Amerika Syarikat #China #COVID-19 #koronavirus #Razak Chik
;