Muhyiddin tiba di Jakarta untuk pertemuan pemimpin ASEAN berkait isu Myanmar

Najib Aroff
April 24, 2021 09:25 MYT
Muhyiddin disambut Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Kamsiah Kamaruddin dan Ketua Pengarah Protokol dan Hal Ehwal Konsulat Kementerian Luar Indonesia Andy Ranchmianto. - Astro AWANI
JAKARTA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selamat tiba di Jakarta, Indonesia bagi menghadiri Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN di Sekretariat ASEAN.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta pada jam 8 pagi waktu tempatan.
Ketibaan beliau disambut Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN Kamsiah Kamaruddin dan Ketua Pengarah Protokol dan Hal Ehwal Konsulat Kementerian Luar Indonesia Andy Ranchmianto.
Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN di Jakarta dijangka membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau termasuk perkembangan situasi di Myanmar.
Pertemuan ini menjadi tumpuan penting selepas krisis politik di Myanmar tercetus yang mana dijangka turut menguji pendirian ASEAN terutama melibatkan dasar tidak masuk campur urusan dalaman.
Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pada Selasa sekali lagi menekankan gesaan supaya keganasan di Myanmar dihentikan segera serta mencari penyelesaian aman kepada krisis politik negara itu.
Pertembungan antara junta tentera Myanmar bersama penunjuk perasaan pro demokrasi menyaksikan kematian hampir 800 orang awam selain beribu orang dilaporkan ditahan.
Antara pemimpin utama yang menghadiri pertemuan kali ini adalah Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia Joko Widodo.
Isu Myanmar | Bincang isu Myanmar, PM kini berada di Jakarta
Manakala Thailand, Laos dan Filipina diwakili Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan.
Myanmar pula diwakili Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.
Selain itu pertemuan bersama pemimpin ASEAN, Muhyiddin dijangka akan mengadakan pertemuan bilateral dengan Perdana Menteri Vietnam bagi membincangkan hubungan dua hala.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Malaysia menyokong sepenuhnya usaha-usaha Brunei selaku Pengerusi ASEAN 2021 untuk menganjurkan pertemuan itu dalam menentukan hala tuju dan masa depan ASEAN.
Katanya, perkara itu selari dengan prinsip-prinsip ASEAN seperti Kepaksian ASEAN (ASEAN Centrality) dan dalam usaha untuk melindungi kesejahteraan, keselamatan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Ini merupakan pertemuan secara fizikal pertama pemimpin ASEAN sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.
Deligasi Pertemuan Pemimpin ASEAN kali ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 ketat seperti yang dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Indonesia.
#Muhyiddin Yassin #ASEAN #Jakarta #Myanmar
;