Muhammad Yunus insan penuh belas kasihan yang dunia perlukan - PM Anwar

Bernama
Oktober 4, 2024 05:15 MYT
Anwar berkata beliau percaya dengan usaha Muhammad untuk memastikan Bangladesh menghidupkan demokrasi cemerlang dan menghormati hak setiap rakyat di negara itu. - Foto BERNAMA
DHAKA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh Dr Muhammad Yunus sebagai insan yang penuh belas kasihan yang dunia perlukan.
Perdana Menteri berkata pemenang hadiah Nobel itu telah menyentuh hati dan jiwa golongan terpinggir dan kurang bernasib baik.
"Saya mengenali anda sejak empat dekad lepas sebagai individu yang mengambil inisiatif itu. Mereka kata kekurangan pengalaman anda dalam pentadbiran tiada apa-apa jika dibandingkan dengan kekuatan dan semangat anda untuk golongan miskin, terpinggir dan rakyat.
"Saya rasa inilah yang kita kurang dalam dunia hari ini, lihat sahaja situasi di Gaza dan kini di Lubnan, apa yang kurang? Ia adalah kekurangan (sifat) kemanusiaan, keadilan dan belas kasihan," kata beliau.
Anwar melakukan lawatan sehari dan ia yang pertama oleh ketua kerajaan asing sejak pembentukan kerajaan interim yang diketuai oleh Muhammad.
Perdana Menteri berkata beliau percaya dengan usaha Muhammad untuk memastikan Bangladesh menghidupkan demokrasi cemerlang dan menghormati hak setiap rakyat di negara itu.
"Saya amat berbesar hati atas maklum balas ikhlas anda (Muhammad) dan mengenali anda secara peribadi, saya percaya kepada kepimpinan dan dedikasi anda dan saya bersedia memberi sebarang bantuan kecil jika dan bila-bila masa diperlukan," kata Anwar.
-- BERNAMA
#ketua kerajaan #bantuan kecil #demokrasi #belas kasihan
;