Mufti Damsyik terkorban dalam insiden ledakan bom

Agensi
Oktober 23, 2020 14:57 MYT
Keadaan kenderaan yang dinaiki Sheikh Mohammad musnah dalam insiden letupan di bandar Qudsaya. - Reuters
MUFTI Damsyik yang juga pemimpin paling kanan dalam komuniti Islam Syria, maut dalam serangan bom pada Khamis, lapor portal berita Al-Arabiya.
Sheikh Mohammad Adnan al-Afiouni terkorban dalam insiden tersebut apabila bom yang dipasang pada kenderaannya meletup.
“Sheikh Mohammad al-Afiouni, Mufti Damsyik dan juga kawasan sekitarnya, mati syahid selepas kumpulan pengganas menyasarkan kenderaannya di bandar Qudsaya, Damsyik," lapor media utama negara itu, Syrian Arab News Agency (SANA).
Laporan SANA tidak banyak memperincikan situasi kejadian itu, melainkan tentang bom yang dipasang pada kenderaannya.
Sheikh Mohammad dalam sebelum ini banyak mengimamkan solat jemaah yang turut disertai Presiden negara itu, Bashar al-Assad.
Badan pemantau hak asasi manusia Syria memberitahu, Sheikh Mohammad memainkan peranan penting dalam mencapai kata persepakatan dengan pejuang-pejuang pemberontak di pinggir ibu negara itu sepanjang sembilan tahun krisis perang berlanjutan.
DIlahirkan pada tahun 1954 di Damsyik, heikh Mohammad Adnan Al-Afiouni menjawat jawatan Mufti Damsyik pada tahun 2013, ketika negara itu masih dalam pergolakan.
Dalam satu sesi solat yang diimamkannya, beliau pernah secara terbuka menyeru di hadapan Bashar dan para jemaah supaya kembali bersatu dan tinggalkan peperangan.
#mufti dibom #pengganas #sheikh mohammad al-afiouni #mufti damsyik #Syria #ledakan bom #serangan pengganas #Bashar Al Assad
;