Mufti Besar Arab Saudi isytihar catur haram
Nizam Bakeri
Januari 22, 2016 15:53 MYT
Januari 22, 2016 15:53 MYT
MUFTI Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah Al-Sheikh mengisytiharkan permainan catur sebagai haram di sisi Islam dalam sebuah video YouTube yang viral di kalangan pengguna Twitter di Arab Saudi, lapor The Independent hari ini.
Menurut Sheikh Abdul Aziz, catur dianggap haram kerana permainan tersebut membazirkan masa dan wang, serta mewujudkan permusuhan dan kebencian antara manusia.
Pendapat tersebut diutarakan dalam sebuah rancangan televisyen mingguan yang menampilkan mufti itu menjawab soalan yang dikemukakan para penonton.
Sheikh Abdul Aziz menyamakan catur dengan 'maisir', permainan Arab Jahiliah yang melibatkan acara memanah untuk memenangi daging unta.
Walaupun hanya viral Khamis lalu, video tersebut dipercayai disiarkan buat pertama kali pada tahun 2014.
Beberapa pengguna Twitter Arab Saudi menyindir kenyataan itu dengan mengatakan catur merupakan permainan yang memerlukan kebijaksanaan maka sebab itu diharamkan oleh para ulama.
Ada juga yang menyokong kenyataan tersebut dengan menyatakan telah ramai ulama yang memberi peringatan bahawa catur mampu mewujudkan ketagihan sekali gus melalaikan umat Islam dari mengingati Tuhan.
Kenyataan mufti tersebut bagaimanapun tidak membentuk sebarang undang-undang mengharamkan permainan catur di Arab Saudi.
Menurut Pengerusi Persatuan Catur Arab Saudi, Musa bin Thaily, pertandingan catur yang dijadualkan Jumaat ini di Mekah akan berlangsung seperti biasa.