Mufti Besar Arab Saudi beri amaran tentang haji tanpa permit
Bernama
Jun 8, 2024 15:03 MYT
Jun 8, 2024 15:03 MYT
RIYADH: Mufti Besar Kerajaan Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah bin Mohammed Al-Sheikh, yang juga Pengerusi Majlis Ulama Kanan dan Presiden Umum Penyelidikan Ilmiah dan Fatwa, menyeru semua jemaah haji tahun 1445H untuk mematuhi arahan keselamatan dan rasmi dengan ketat, lapor Saudi Press Agency (SPA).
Menurut Mufti Besar, arahan paling utama adalah mendapatkan permit haji dan mematuhi pengambilan vaksin yang diumumkan Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
Beliau menekankan bahawa menunaikan haji tanpa permit "adalah berdosa bagi orang yang melakukannya," dan tidak dibenarkan menunaikan haji tanpa permit, sambil menekankan bahawa ini selaras dengan kepentingan yang diperlukan oleh syariah, yang bertujuan dengan memperbaiki kepentingan dan mencegah keburukan.
Al-Sheikh berkata: "Kepimpinan bijaksana dan Negara telah menggubal peraturan dan arahan yang bertujuan untuk memudahkan dan mengatur penerimaan jemaah, menyediakan mereka dengan segala kemudahan dan membantu mereka untuk melaksanakan ibadah dengan mudah dan tenang, yang perkhidmatan itu memerlukan pematuhan untuk memastikan keselamatan semua orang dan tujuan lain."
Beliau menambah bahawa kerajaan Arab Saudi telah berusaha, tanpa mengenal penat lelah, perbelanjaan atau organisasi, untuk mencapai matlamat yang tinggi dalam perkhidmatan Islam dan umat Islam, Dua Masjid Suci dan pengunjungnya.
Al-Sheikh menggesa semua jemaah untuk memanfaatkan masa mereka sepanjang menunaikan haji dengan beribadat kepada Allah SWT melalui doa, ibadah dan mendekatkan diri kepada-Nya.
-- BERNAMA
#Mufti Besar Arab Saudi
#mematuhi arahan keselamatan dan rasmi
#ibadah haji
#tanpa permit
#Sheikh Abdulaziz bin Abdullah
#Aidiladha