Muat turun Telegram di Perancis, AS melonjak selepas penahanan Durov
Bernama
Ogos 27, 2024 13:35 MYT
Ogos 27, 2024 13:35 MYT
MOSCOW: Bilangan muat turun Telegram di "App Store" meningkat di Perancis dan Amerika Syarikat (AS) selepas pengasas aplikasi itu Pavel Durov ditahan di Perancis, menurut laporan portal TechCrunch, lapor Sputnik.
Di Perancis, aplikasi itu naik ke tempat pertama dalam kategori "Social Networks" di "App Store" dan ketiga dalam kalangan semua aplikasi.
Menurut laporan yang memetik penjejak populariti aplikasi Appfigures, bagi carta aplikasi paling popular dalam kalangan pengguna di AS tidak termasuk permainan, kedudukan Telegram telah naik ke tempat kelapan berbanding kedudukan ke-18.
Menurut syarikat analisis Sensor Tower, setakat Ahad lepas, bilangan muat turun Telegram pada peranti iOS di seluruh dunia meningkat sebanyak empat peratus dalam sehari.
Durov telah ditahan di lapangan terbang Paris Le Bourget pada 24 Ogos.
Menurut kenyataan pejabat pendakwa raya Paris, beliau disyaki terlibat dalam beberapa kesalahan, termasuk kegagalan memberikan maklumat yang diminta kepada pihak berkuasa, dan pengurusan aplikasi mesej yang didakwa digunakan untuk pornografi kanak-kanak dan pengedaran dadah.
Menurut laporan media Perancis Durov yang juga mempunyai kewarganegaraan Perancis, berada dalam senarai dikehendaki negara itu dengan ahli perniagaan itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
-- BERNAMA
#muat turun Telegran melonjak
#penahanan Pavel Durov
#pengasas aplikasi
#Amerika Syarikat
#Perancis
#App Store