Muat naik video lucu, Kyrgios cuba gembirakan Andy Murray
Najib Aroff
Januari 15, 2019 11:39 MYT
Januari 15, 2019 11:39 MYT
SOKONGAN terhadap ikon tenis Andy Murray terus disuarakan oleh rakan seperjuangan lain selepas bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan bersara akibat kecederaan tulang pinggul.
Terbaharu, pemain tenis Australia, Nicholas Hilmy Kyrgios pada Selasa memuat naik video beliau bersama Murray menaiki permainan roller coaster di sebuah taman tema.
Katanya, tujuan dia mengimbau kenangan itu hanya untuk membuatkan Murray ketawa.
Rakaman itu menunjukan Murray ketakutan sepanjang menaiki roller coaster, namun diselangi tawa.
Berdasarkan satu video hampir sama yang dimuat naik Murray di Instagram pada Ogos 2018, lokasi taman tema itu ialah di Kings Island, Ohio.
Pada Jumaat, juara tiga kali Grand Slam itu mengumumkan persaraan daripada sukan tenis selepas mengalami kecederaan tulang pinggul sejak Jun 2016.
Katanya, beliau sudah mencuba sedaya upaya untuk mencari penawar kepada kecederaan tulang pinggulnya, namun dia masih menanggung kesakitan.