MSF tolak alasan Israel terhadap serangan pekerja WCK

Astro Awani
April 4, 2024 07:30 MYT
Lockyear berkata, pembunuhan pekerja WCK menunjukkan bahawa langkah untuk meredakan konflik adalah sia-sia "dalam peperangan yang berlaku tanpa peraturan". - Foto AP
GENEVA: Badan amal perubatan Doctors Without Borders (MSF) menolak pendirian Israel bahawa serangan udara yang mengorbankan tujuh pekerja bantuan adalah "insiden yang dikesali".
MSF menegaskan ramai anggota kemanusiaan telah diserang sebelum ini.
Tujuh pekerja dari World Central Kitchen (WCK) terbunuh apabila konvoi mereka diserang sejurus selepas mereka mengawasi pemunggahan 100 tan makanan yang dibawa ke wilayah Palestin melalui laut.
Setiausaha Agung MSF International, Christopher Lockyear berkata, pihaknya tidak menerima naratif insiden yang dikesali.
Tegasnya, corak serangan adalah disengajakan sama ada ke atas pekerja kemanusiaan, pekerja kesihatan, wartawan, kakitangan PBB, sekolah dan rumah.
Lockyear berkata, MSF kekal hadir di Gaza susulan pembunuhan itu tetapi sedang menilai risiko kepada pasukannya setiap hari.
Beliau berkata, pembunuhan pekerja WCK menunjukkan bahawa langkah untuk meredakan konflik adalah sia-sia "dalam peperangan yang berlaku tanpa peraturan".
Jelasnya, serangan ke atas pekerja kemanusiaan ini dibenarkan berlaku adalah pilihan politik.
Tambah Lockyear, pergerakan dan lokasi NGO sudah dikongsi, diselaraskan dan dikenal pasti namun undang-undang perang tetap diabaikan sepenuhnya oleh Israel.
Lockyear berkata, MSF telah menggesa Israel untuk menyiasat serangan maut ke atas konvoi MSF pada November dan menyiasat insiden lain yang melibatkan pertubuhan itu termasuk serangan Israel ke atas tempat perlindungan MSF di al-Mawasi pada Februari.
#WCK #MSF #Israel #Gaza
;