MRT Jakarta beroperasi akhir Mac, atasi kesesakan

Agensi
Februari 27, 2019 06:30 MYT
Fasa kedua projek tersebut sepanjang 7.8 kilometer menghubungkan Hotel Indonesia ke Kota di Jakarta Barat dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024. - Foto Reuters
Transit Aliran Massa (MRT) Jakarta bakal beroperasi akhir Mac ini, sekali gus mampu mengurangkan kesesakan bandar raya dengan kepadatan 10 juta penduduk itu.
Infrastruktur terbaharu itu siap dibina 2018 dan hanya menanti fasa percubaan termasuk ujian kebakaran, keselamatan dan kecemasan
Menurut Pengarah Operasi dan Penyelenggaraan PT MRT, Muhammad Effendi kesemua latihan tersebut akan dijalankan pada 27 Februari hingga 11 Mac sebelum pembukaan rasmi operasi.
Latihan dijangka melibatkan pihak polis, tentera, pasukan bomba dan pasukan kesihatan.
“Latihan akan memberi tumpuan kepada situasi kerosakan tren, kegagalan elektrikal atau ancaman bom yang memerlukan rancangan pemindahan penumpang dengan segera,” kata Effendi.
Meskipun pelan kecemasan sudah disediakan, namun MRT Jakarta tetap menasihatkan penumpang yang bakal menaiki perkhidmatan tersebut supaya mengamalkan sikap cermat bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
MRT Jakarta melibatkan jajaran sepanjang 15.7 kilometer bagi fasa pertama yang menghubungkan Lebak Bulus, Jakarta Selatan ke Hotel Indonesia, Tengah Jakarta.
Fasa kedua projek tersebut sepanjang 7.8 kilometer menghubungkan Hotel Indonesia ke Kota di Jakarta Barat dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024.
MRT Jakarta menjangkakan sejumlah 28,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan itu pada sesi percubaan awam bermula 12 Mac hingga hujung Mac, manakala sejumlah 65,000 dijangka menggunakannya pada bulan pertama pelancaran.
#bom #Indonesia #kebakaran #kerosakan tren #kesesakan #latihan #Macet #MRT Indonesia #mrt jakarta #PT MRT
;