Mpox ragut lebih 570 nyawa di Congo - Menteri Kesihatan

Bernama
Ogos 20, 2024 11:15 MYT
Seorang kanak-kanak perempuan yang dijangkiti wabak mpox menunggu untuk menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan di Munigi, Congo. - Foto AP
KINSHASA: Wabak mpox yang sedang melanda kini diisytiharkan sebagai "kecemasan benua," menurut Menteri Kesihatan Republik Demokratik Congo (DRC), Samuel-Roger Kamba pada Isnin.
Kamba melaporkan bahawa sejak awal tahun ini, DRC merekodkan sebanyak 16,700 kes mpox yang disahkan atau disyaki, termasuk lebih 570 kematian, peningkatan berbanding 15,664 kes disyaki dan 548 kematian yang dilaporkan minggu lepas, lapor Xinhua.
Pada Disember 2022, negara itu mengisytiharkan wabak mpox sebagai wabak nasional, mendorong penubuhan sistem pengurusan insiden sejak Februari 2023 berdasarkan peningkatan bilangan kes yang dilaporkan.
Penyakit itu menjejaskan 17 negara di Afrika dan beberapa negara lain di luar benua itu, memberi impak ketara kepada golongan muda terutamanya kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.
"Tetapi saya ingin mengingatkan bahawa vaksin hanyalah sebahagian daripada tindak balas; barisan pertahanan pertama ialah pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan," kata menteri itu, sambil menegaskan bahawa negara akan menerima bekalan vaksin mpox minggu depan.
Menteri kesihatan itu juga menyatakan bahawa campur tangan kerajaan membantu mencegah penyebaran yang lebih meluas di dalam negara.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengisytiharkan bahawa mpox, yang sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa, memberi amaran mengenai potensi penularan di peringkat global, berikutan pengumuman awal pada 23 Julai 2022.
Menurut agensi kesihatan Kesatuan Afrika, jumlah kes baharu yang dilaporkan pada 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 160 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
Menurut WHO, wabak semasa yang merebak dari Congo diburukkan lagi oleh kemunculan varian baharu virus yang lebih berbahaya, Clade 1b dianggarkan mempunyai kadar kematian 3.6 peratus, jauh lebih tinggi berbanding strain sebelumnya.
-- BERNAMA
#mpox #kecemasan benua #DRC #wabak