MPA Singapura siasat insiden tumpahan minyak di Changi semasa bunkering
Bernama
Oktober 29, 2024 12:10 MYT
Oktober 29, 2024 12:10 MYT
SINGAPURA: Dianggarkan sebanyak lima tan minyak tumpah ke perairan Singapura berhampiran Changi semasa operasi mengisi minyak atau 'bunkering' antara kapal kontena berdaftar Bahamas, INES CORRADO dengan sebuah kapal tangki minyak berlesen pada Isnin.
Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) memaklumkan bahawa operasi itu dihentikan serta-merta selepas insiden berlaku pada 5.40 petang, manakala siasatan terperinci sedang dijalankan.
"Kapal MPA tiba di lokasi sekitar 5.50 petang dan segera menyembur bahan penyerak minyak.
"Agensi kerajaan berkaitan dimaklumkan untuk memantau kawasan pesisir pantai bagi mengesan sebarang tanda tumpahan minyak.
"Tiada gangguan terhadap operasi pelayaran di perairan terlibat," menurut MPA dalam dua kenyataan pada Selasa.
Setakat 8 pagi Selasa, tiada kesan minyak dikesan di kawasan sekitar laut atau di pantai berhampiran.
MPA turut menempatkan alat pemulihan minyak di perairan luar pantai Changi sebagai langkah berjaga-jaga.
Pihak berkuasa di Malaysia juga dimaklumkan untuk memantau sebarang tanda tumpahan minyak di kawasan perairan mereka.
-- BERNAMA