MoU,MoA UUM dengan BFA tingkat kualiti pendidikan tinggi - Dr Mohd Foad
Astro Awani
Mei 18, 2024 23:06 MYT
Mei 18, 2024 23:06 MYT
SAMARKAND: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Uzbekistan membuka peluang kepada kerjasama pendidikan tinggi apabila Universiti Utara Malaysia (UUM) menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan institusi pendidikan tinggi negara itu.
Perdana Menteri turut menyaksikan majlis memeterai MoA yang berjalan serentak dengan penganjuran Forum Perniagaan Uzbekistan-Malaysia Peringkat Tinggi di Samarkand.
UUM diwakili Naib Canselor, Prof. Dr Mohd Foad Sakdan manakala rektor Banking and Finance Academy (BFA) diwakili Dr Khoshimov Elmurod.
Menerusi kerjasama itu, ia mengukuhkan lagi kerjasama pendidikan tinggi UUM di peringkat global apabila turut melibatkan Oriental University (OU), Tashkent International University of Financial Management and Technologies (TIFT) dan Tashkent State University of Economics (TSUE).
OU dan TIFT dan masing-masing diwakili Rektor Azizkhon Nodirov dan Prof. Murodjon Ubaydullaevich Akhmedov, manakala TSUE oleh rektornya, Prof. Teshabayev To’lqin Zakirovich.
“Kerjasama ini akan menggalakkan lagi kerjasama akademik, pertukaran dan perkongsian antara UUM dan institusi pendidikan tinggi terlibat. Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) dan BFA bertujuan mewujudkan satu sekolah perniagaan yang kukuh di Uzbekistan selain meningkatkan kualiti pendidikan tinggi dan kerjasama antarabangsa.
“Program Master of Business Management (MBM) ditawarkan OYAGSB akan diserap ke dalam program BFA Global MBA dan kerjasama ini akan meningkatkan standard pengajian perniagaan melalui penekanan kepada pengetahuan komprehensif dan kemahiran kepimpinan,” jelas Prof. Dr Mohd Foad.
BFA sebelum ini dikenali kerana mempunyai program MBA yang cemerlang akan terus memastikan kualiti kursus diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selain itu, kerjasama strategik ini bermatlamat meningkatkan lagi lanskap pendidikan kedua-dua negara menerusi penawaran pendidikan tinggi bidang perniagaan termasuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan.
Turut menandatangani MoU sempena lawatan Perdana Menteri ke Uzbekistan ini adalah School of Quantitative Sciences (SQS) dengan TIFT dan TSUE serta Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) dengan OU.
MoU yang dimeterai tertumpu kepada usaha meningkatkan kerjasama di dalam bidang penyelidikan, akademik dan penerbitan bersama.
SQS akan menjadi penganjur seminar antarabangsa di TSUE pada Oktober tahun hadapan dengan fokus memanfaatkan kaedah kuantitatif untuk menghasilkan inovasi di dalam era digital.
Inisiatif lain yang termaktub di bawah MoU dan MoA ini adalah melibatkan program pertukaran pelajar dan kakitangan serta pemberian geran padanan.
Anwar melakukan lawatan rasmi ke Uzbekisan atas jemputan Presiden Shavkat Mirziyoyev dengan misi meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang.