'Motosikal' panjat pokok? Petani ini cipta alat khas petik buah kelapa
Agensi
Jun 16, 2019 18:57 MYT
Jun 16, 2019 18:57 MYT
MEMANJAT pokok seperti pokok kelapa dan pokok pinang merupakan satu tugas yang memerlukan kepakaran dan pengalaman.
Sebagai contoh, di negara kita, kebanyakan petani dan pekebun menggunakan khidmat beruk dan kera untuk memanjat dan memetik buah kelapa.
Namun seorang petani di India ini mempunyai cara yang lebih inovatif dan berteknologi tinggi untuk melaksanakan tugas itu, iaitu menaiki sebuah 'motosikal'.
Dalam sebuah video yang tular, petani itu dilihat menggunakan peralatan itu untuk memanjat sebatang pokok pinang.
Apa yang dilakukannya ialah duduk di tempat duduk, hidupkan enjin dan pegang klac serta pemecut pada masa yang sama.
Ganapathi Bhat, 49, dari kampung Komale berhampiran Bantwal ini telah cuba membina peralatan itu sejak 10 tahun lalu, namun tidak berjaya.
Tujuh bulan lalu, dia kembali membuat kajian tentang konsep inovasinya itu dan berjaya menyiapkan projek berkenaan pada Mei, menggunakan komponen motosikal biasa seperti klac, pemecut, double brakes, penyerap kejutan dan enjin petrol 2.1 kuasa kuda.
"Kali pertama saya panjat menggunakan 'motosikal' itu, saya meminta anak saya bersedia untuk memanggil ambulans. '
"Saya menggunakan komponen berkualiti tinggi. Tetapi jika terdapat kegagalan mekanikal, ia akan berhenti di pertengahan jalan.
"Hanya tekan klac dan ia akan meluncur perlahan-lahan ke bawah," kata Bhat kepada portal Daily Mail.
Peralatan itu terbukti selamat dan Bhat telah memanjat 150 pokok sebelum melakukan demonstrasi kepada petani tempatan.
Bhat mengeluarkan belanja kira-kira 9,000 pound sterling (RM47,235) untuk membina 'motosikal' itu, dan bercadang menjualnya pada harga 848 pound sterling (RM4,450) seunit.
Bhat merupakan bekas graduan sains dan pernah bertugas sebagai juruteknik.
"Latar belakang itu membantu saya untuk memikirkan idea-idea seperti ini.
"'Motosikal' ini diharapkan dapat membantu industri pertanian yang menghadapi masalah kekurangan buruh yang teruk," tambahnya.