Moscow diserang tiga dron - Kementerian Pertahanan Rusia

Bernama
Ogos 1, 2023 12:20 MYT
Sebuah dron telah berjaya disekat dengan peranti elektronik tentera Rusia sebelum merempuh kompleks bangunan bukan kediaman di Moscow.- Foto REUTERS
Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa Ukraine menyerang Moscow menggunakan tiga dron, dua daripadanya ditembak jatuh, manakala dron ketiga berjaya disekat oleh sistem peperangan elektronik sebelum jatuh di atas bangunan pusat perniagaan Moscow, lapor Sputnik.
"Semalam, percubaan serangan pengganas oleh Kyiv menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) terhadap kemudahan di bandar Moscow dan wilayah Moscow telah digagalkan. Dua UAV Ukraine telah dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara di Odintsovo dan Daerah Naro-Fominsk di wilayah Moscow.
"Satu lagi dron telah disekat dengan peranti elektronik tentera lalu merempuh kompleks bangunan bukan kediaman di Moscow," menurut kementerian itu.
Sementara itu, Datuk Bandar Moscow Sergey Sobyanin berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Terdahulu pada Selasa, Sobyanin berkata beberapa dron dipercayai menuju ke ibu negara Rusia, berjaya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara, tetapi satu daripadanya telah melanggar menara di Moscow, dan merosakkan tingkat 21.
"Tingkap di kawasan seluas 150 meter persegi telah pecah. Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai kematian," menurut datuk bandarnya menerusi hantaran di Telegram.
-- BERNAMA
#serangan dron #Moscow #Rusia #Ukraine
;