Moscow ambil alih kawalan dua firma tenaga asing
Bernama
April 26, 2023 19:45 MYT
April 26, 2023 19:45 MYT
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani dekri meletakkan anak syarikat dua pembekal tenaga asing Rusia - Uniper dari Jerman dan Fortum Oyj dari Finland - di bawah kawalan negara, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Dekri yang ditandatangani pada Selasa itu menyebut langkah itu adalah reaksi yang perlu terhadap ancaman nasionalisasi aset Rusia di luar negara.
Menurut dekri itu, sekiranya aset negara Rusia, syarikat Rusia atau individu persendirian di luar negara dirampas, Moscow akan mengambil alih kawalan syarikat yang berasal dari negara asing yang sepadan.
Uniper mempunyai 83.73 peratus kepentingan dalam anak syarikat Rusia Unipro, yang selama bertahun-tahun membekalkan penghantaran gas asli ke Jerman.
Syarikat itu mengalami kesukaran tahun lalu susulan pemotongan bekalan gas Rusia, didorong oleh sekatan Barat akibat pencerobohan Moscow ke atas Ukraine. Kerajaan Jerman akhirnya menasionalisasikan Uniper.
Anak syarikat Unipro kini akan berada di bawah pengurusan dana kekayaan negara Rosimushchestvo.
"Dekri itu tidak mengambil kira isu harta dan tidak melucutkan harta pemiliknya," kata Rosimushchestvo dalam satu kenyataan.
Malah, sebelum pencerobohan Rusia, Uniper telah berusaha untuk menjual pegangannya dalam Unipro. Seorang pembeli berminat namun pihak berkuasa Rusia tidak pernah meluluskan penjualannya.
Uniper telah menghapus kira kerugian EUR4.4 bilion (AS$4.8 bilion) berhubung anak syarikat itu.
-- BERNAMA