Morsi adakan perbincangan dengan penentang

Astro Awani
Disember 9, 2012 10:50 MYT
Presiden Mesir Mohammed Morsi mengadakan perbincangan dengan kumpulan kecil pembangkang dalam usahanya mencari penyelesaian krisis pindaan perlembagaan negara itu.
Bagaimanapun, perbincangannya dipulau sebahagian besar penentang Morsi dan hanya dihadiri pembangkang yang terdiri daripada kelompok parti Islam.
Pertemuan berkenaan diadakan selepas naib presiden Mesir membuat cadangan supaya pungutan suara mengenai perlembagaan yang sepatutnya berlangsung 15 Disember ditunda.
Perbincangan antara Morsi dan kumpulan pembangkang dibuat selepas tentera memberi amaran ia akan mendatangkan bencana sekiranya masalah berkenaan tidak diselesaikan segera.
Dalam kenyataanya pasukan bersenjata negara itu berkata, hanya dengan cara perbincangan kemelut yang menguji kepimpinan Morsi sebagai presiden dapat diatasi. Krisis tercetus 22 November lalu selepas presiden ketiga Mesir itu bertindak memecat hakim yang dikatakan setia kepada bekas pemimpin Hosni Mubarak.
Mereka dituduh mengancam proses pindaan perlembagaan dan menghalang proses mereka dituduh mengancam proses pindaan perlembagaan dan menghalang proses peralihan demokrasi.
Sementara itu, pasukan tentera Mesir meningkatkan kawalan ke atas Istana Presiden sejak beberapa hari yang lalu.
Tindakan itu diambil selepas pergaduhan jalanan melibatkan kumpulan penyokong dan kumpulan anti presiden menunjukkan tanda tidak akan reda.
Selain membina tembok, pasukan elit pengawal republik juga dikerah mempertahankan Istana Presiden yang menjadi tumpuan perusuh yang mendesak presiden Mohamed Morsi membatalkan pindaan perlembagaan yang memberikan beliau lebih kuasa.
Kumpulan anti presiden telah berkampung di kawasan sekitar Istana Presiden sejak beberapa hari lalu.
Mereka membuat sekatan jalanraya bagi menyukarkan pergerakan kereta kebal tentera.
#Hosni Mubarak #Mesir #Mohammed Morsi #protes
;