Monyet 'photobomb' potret lima sekeluarga tunjuk isyarat 'lucah'
Agensi
Jun 14, 2019 10:58 MYT
Jun 14, 2019 10:58 MYT
Potret lima sekeluarga dari Queensland, Australia yang bercuti ke Bali, Indonesia dirosakkan oleh seekor monyet yang tiba-tiba muncul di hadapan kamera sambil mengacungkan jari tengahnya seakan isyarat lucah.
Keluarga berkenaan pada awalnya menganggap haiwan itu hanya melompat di hadapan kamera sewaktu gambar mereka dirakam oleh seorang pemandu pelancong.
Bagaimanapun, sebaik melihat foto berkenaan, jelas kelihatan monyet baka primate itu sebenarnya menunjukkan jari tengahnya.
Jusdy Hicks, 37, berkata, mereka sekeluarga ke Bali untuk bercuti selama seminggu dan kejadian berlaku semasa mengunjungi hutan monyet di Ubud.
“Pemandu pelancong di situ menawarkan diri untuk mengambil gambar kami sekeluarga dan pada waktu itu muncul haiwan itu di hadapan kamera secara tiba-tiba,” katanya kepada The Sun.
Gambar itu dirakam pada Disember tahun lalu dan dikongsi buat pertama kalinya pada minggu ini.
“Semasa saya membelek gambar-gambar di Bali, baru saya perasan gambar berkenaan dan terus menunjukkannya kepada suami. Kami kemudian ketawa bersama.
“Foto ini akan menjadi kenangan manis dalam keluarga kami,” katanya.
Spesies haiwan berekor panjang itu berasal dari Asia Tenggara dan mempunyai sejarah hidup yang panjang di lokasi yang hampir dengan manusia.