Monsun: 12 lagi maut disambar petir

Agensi
September 24, 2022 17:40 MYT
Amaran hujan lebat yang lebih buruk turut dikeluarkan dalam tempoh beberapa hari akan datang - Gambar hiasan
CUACA berbahaya mengorbankan sekurang-kurangnya 36 individu di utara India setakat Ahad, termasuk 12 maut akibat disambar petir, lapor media antarabangsa.
Pihak berkuasa India berkata, dalam tempoh lima hari lalu, sebanyak 39 kematian direkodkan akibat kejadian tersebut sehingga mendorong kerajaan negeri mengeluarkan garis panduan bagi mengelakkan orang awam dipanah petir.
Dalam masa yang sama, amaran hujan lebat yang lebih buruk turut dikeluarkan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Mohamed Usman, berusia 15 tahun antara salah seorang mangsa terbaharu yang terbunuh kerana disambar petir.
Dalam kejadian tersebut, mangsa berada di atas bumbung bersama rakannya, sebelum petir menyambar menyebabkan dia meninggal dunia serta-merta.
"Kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan) apabila dia (Mohammad Usman) naik ke tingkat atas untuk bermain. Sebaik sampai ke tingkat tersebut, dia disambar petir dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Sementara, seorang lagi lelaki cedera dan berada di hospital," kata bapa mangsa, Mohammad Ayub, 58 tahun.
Jelas Mohammad Ayub lagi, dia tidak pernah melihat kejadian sedemikian sepanjang hidupnya.
Dianggarkan berlaku peningkatan sebanyak 34 peratus dalam serangan kilat di seluruh India sepanjang tahun lalu, mengakibatkan kadar kematian turut meningkat.
Serangan kilat dilapor perkara biasa di India semasa monsun pada bulan Jun hingga September, yang disifatkan dapat menambah bekalan air serantau tetapi turut menyebabkan kematian dan kemusnahan yang meluas setiap tahun.
Pada 2016, India mencatatkan 1,489 kematian akibat panahan petir, dan jumlah itu meningkat kepada 2,869 pada 2021.
#maut disambar petir #Kejadian serangan kilat di India #Cuaca berbahaya di India
;