Mohamed Muizzu menang pilihan raya Presiden Maldives
Bernama
Oktober 1, 2023 10:40 MYT
Oktober 1, 2023 10:40 MYT
NEW DELHI: Mohamed Muizzu bakal menjadi presiden baharu Maldives selepas menewaskan penyandang Presiden Ibrahim Mohamed Solih dalam pilihan raya penentu pada Sabtu.
Pusingan kedua pilihan raya dilaksanakan memandangkan tiada calon yang memperoleh kemenangan pada pusingan pertama yang diadakan 8 September lalu.
Muizzu, 45, merupakan bekas menteri perumahan dan datuk bandar Male.
Beliau muncul sebagai calon parti pembangkang Parti Progresif Maldives (PPM) dan Kongres Nasional Progresif (PNC) selepas pilihan pertama mereka dan bekas presiden Abdulla Yameen tidak dapat menyertai pemilihan presiden kerana sedang menjalani hukuman penjara 11 tahun atas kesalahan rasuah.
Yameen dan penyokongnya berkata tuduhan terhadapnya adalah bermotifkan politik dan menuntut pembebasannya.
Muizzu memperoleh 54 peratus undi berbanding Solih, 61, yang sekadar mendapat 46 peratus undi.
Solih akan berkhidmat sebagai presiden sementara sehingga pemimpin baharu itu secara rasmi memegang jawatan pada 17 November.
Hussain Mohamed Latheef pula bakal menjadi naib presiden baharu.
Solih yang dipilih pada 2018 dianggap terlalu dekat dengan pengaruh India dan telah mencetuskan isu kepada penyokong pembangkang.
-- BERNAMA