Mogul Internet Kim Dotcom rancang lawan ekstradisi dari New Zealand

Bernama
Ogos 16, 2024 17:00 MYT
Dotcom berdepan kemungkinan ekstradisi sejak kediamannya diserbu oleh polis New Zealand pada 2012. - Gambar/ Reuters
WELLINGTON: Usahawan Internet kelahiran Jerman, Kim Dotcom akan mengemukakan rayuan terhadap ekstradisinya dari New Zealand ke Amerika Syarikat (AS), menurut peguamnya pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lewat Khamis, Menteri Kehakiman New Zealand Paul Goldsmith menandatangani perintah ekstradisi untuk Dotcom atau nama sebenarnya Kim Schmitz.
Mogul teknologi itu yang dilahirkan di bandar Kiel, Jerman, berada di New Zealand sejak 2010. Beliau adalah warganegara Jerman dan Finland.
Dotcom berdepan kemungkinan ekstradisi sejak kediamannya diserbu oleh polis New Zealand pada 2012.
Pihak berkuasa AS telah cuba mengekstradisi Dotcom untuk menghadapi pertuduhan berkaitan laman web perkongsian fail yang kini tidak berfungsi, Megaupload.
Ira Rothken, seorang daripada peguam Dotcom, dalam hantaran di platform media sosial X bahawa pasukan guaman akan mengemukakan permohonan untuk semakan kehakiman di mahkamah tinggi New Zealand.
"Perjuangan untuk keadilan diteruskan. Dunia sedang memerhati," tulis Rothken.
Dotcom dalam catatannya di X berkata beliau menyayangi New Zealand. "Saya tidak akan pergi," katanya. "Jangan risau, saya ada rancangan."
Megaupload menghasilkan berjuta-juta dolar daripada pengiklanan dan langganan premium. Pada kemuncaknya, Megaupload adalah laman ke-13 paling popular di Internet dan menyumbang 4 peratus daripada semua trafik dalam talian.
Dotcom menghadapi tuduhan di Amerika Syarikat termasuk pelanggaran hak cipta jenayah, pemerasan, penipuan wayar dan pengubahan wang haram.
Rakan-rakannya, warga Jerman Finn Batato dan Mathias Ortmann serta warga Belanda Bram van der Kolk, telah ditangkap bersama Dotcom pada 2012.
Ortmann dan van der Kolk dijatuhi hukuman penjara di New Zealand pada 2023 selepas mencapai perjanjian pengakuan bersalah. Batato meninggal dunia di New Zealand pada 2022.
-- BERNAMA
#kim dotcom #ekstradisi #New Zealand #Amerika Syarikat