Modul teras Tianhe punya kemudahan selesa untuk angkasawan

Bernama
Jun 20, 2021 22:49 MYT
Modul teras itu mempunyai beberapa zon berasingan bagi memudahkan angkasawan melakukan tugasan dan menjalani kehidupan biasa. - Gambar/ Bernama
BEIJING: Tiga angkasawan China, Nie Haisheng, Liu Boming dan Tang Hongbo, penghuni kumpulan pertama stesen angkasa lepas pada Jumaat akan memulakan kehidupan di modul teras Tianhe selama tiga bulan.
Modul teras itu yang berkeluasan 150 meter padu, ia mempunyai beberapa zon berasingan bagi memudahkan angkasawan melakukan tugasan dan menjalani kehidupan biasa.
Antaranya, terdapat tiga zon tempat tidur disediakan bagi menjamin keselesaan dan privasi yang optimum untuk setiap angkasawan.
Biarpun hidup di ruang angkasa, mereka masih mengekalkan cara hidup seperti yang lazim diamalkan di Bumi, seperti kitaran waktu tidur.
Untuk mengatasi impak fisiologi disebabkan mereka hidup dalam suasana sifar graviti, angkasawan perlu melakukan pergerakan senaman sekurang-kurangnya dua jam sehari menggunakan alat-alat senaman yang dilengkapi di modul berkenaan.
Demi mengubati kerinduan terhadap tanah air, angkasawan tersebut dibekalkan lebih 120 jenis sajian makanan antaranya ayam Kung Pao.
Selain itu, peralatan seperti meja lipat, peti sejuk dan perkakas dapur juga dilengkapi di modul teras berkenaan bagi memudahkan kehidupan harian mereka.
Kemudahan Wi-Fi yang sudah tersedia di dalam modul tersebut juga membolehkan anak kapal menghubungi pusat kawalan serta anggota keluarga menerusi pautan video.
-- BERNAMA
#angkasawan #China #modul teras Tianhe #Stesen angkasa lepas
;