Moderna saman Pfizer, BioNTech kerana tiru paten

Astro Awani
Ogos 26, 2022 06:30 MYT
Tuntutan mahkamah ini untuk melindungi platform inovatif teknologi mRNA yang dirintis oleh Moderna. - Foto fail/REUTERS
KALAMAZOO: Syarikat pembuatan vaksin COVID-19 menyaman pesaingnya Pfizer, serta rakan kongsinya dari Jerman, BioNTech kerana didakwa melanggar paten penghasilan vaksin COVID-19 yang pertama diluluskan di Amerika Syarikat.
Moderna mendakwa, kedua-dua syarikat itu meniru teknologi yang dihasilkannya sejak sekian lama sebelum pandemik bermula.
Tuntutan mahkamah itu difailkan di Mahkamah Massachusetts dan Mahkamah Dusseldorf di Jerman.
Ketua Eksekutif Moderna, Stephane Bancel dalam kenyataan berkata, tuntutan mahkamah ini untuk melindungi platform inovatif teknologi mRNA yang dirintis oleh syarikat itu.
Moderna mendakwa bahawa Pfizer-BioNTech, tanpa kebenarannya, meniru teknologi mRNA yang dipaten oleh Moderna antara 2010 dan 2016, jauh lebih awal sebelum COVID-19 muncul pada 2019 dan menular sehingga menarik perhatian seluruh dunia pada awal 2020.
Pfizer-BioNTech menegaskan bahawa kedua-dua syarikat itu akan mempertahankan paten mereka.
#Moderna #saman #Pfizer #COVID-19
;