Modenisasi ala China sesuai dengan keadaan di China - Xi Jinping
Bernama
Oktober 18, 2022 15:36 MYT
Oktober 18, 2022 15:36 MYT
BEIJING: Modenisasi ala China yang berakar umbi di China sesuai dengan keadaan negara ini, kata Presiden China Xi Jinping ketika menghadiri sesi perbincangan delegasi Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi bagi Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) pada Isnin.
Xi berkata usaha harus dipergiat untuk mendorong kebangkitan gemilang bangsa China menerusi modenisasi ala China.
"Sejak memasuki era baharu, pemahaman Parti dalam pembinaan negara sosialis moden semakin diperkasa, strateginya semakin disempurnakan dan amalannya terus dipergiat sehingga modenisasi ala China berjaya diintensif dan dikembangkan," katanya selepas mendengar pandangan wakil-wakil dari wilayah Guangxi.
Beliau turut mengingatkan para wakil supaya meletakkan pembangunan negara dan bangsa sebagai keutamaan dalam semua dasar yang dilaksanakan di samping memastikan pembangunan serta kemajuan China berada di tangan sendiri.
"Tugas paling penting buat masa ini adalah untuk melaksanakan keputusan dan pengaturan utama yang dibuat dalam Kongres Kebangsaan ke-20 PKC sehingga mencapai hasilnya," kata Presiden China itu.
Dalam sesi perasmian Kongres Kebangsaan ke-20 PKC pada 16 Okt lalu Xi Jinping telah mewakili Jawatankuasa Pusat ke-19 PKC membentangkan laporan.
Beliau berkata tugas utama PKC bagi fasa seterusnya adalah untuk memimpin rakyat ke arah merealisasikan Matlamat 100 Tahun Kedua bagi membangunkan China sebagai negara sosialis moden yang kuat dan memacu kebangkitan bangsa secara menyeluruh menerusi modenisasi ala China.
-- BERNAMA