MNLF dalam proses transformasi - Pengerusi baharu
Bernama
Mei 6, 2014 07:02 MYT
Mei 6, 2014 07:02 MYT
Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) kini dalam proses transformasi daripada sebuah pertubuhan revolusi kepada parti politik bagi menghadapi pilihan raya umum Filipina pada 2016.
Pengerusi MNLF yang baharu dilantik Abul Khyer Alonto dalam temu bual dengan Bernama di sini pada Selasa, memberitahu organisasi itu juga mungkin menggantikan nama sedia ada dengan 'Bangsamoro Federalista Muslim Mindanao' (Parti Persekutuan Bangsamoro bagi Muslim Mindanao).
Bagaimanapun, Alonto yang merupakan antara '90 Freedom Fighters' asal, berkata proses penyatuan dan perbincangan dalam kalangan pemimpin atasan masih berlangsung.
"Kami juga sedang berusaha menghapuskan persepsi yang sekian lama mengaitkan kami dengan keganasan. Saya merayu kepada rakyat Filipina...bantu saya, perbetulkan saya jika saya salah dan sokong saya jika saya benar," katanya.
Alonto dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi baharu MNLF pada 3 Mac lalu.
Satu lagi pertubuhan Islam utama di Mindanao, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) juga mengumumkan hasrat untuk menubuhkan parti politik susulan pemeteraian Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro antara MILF dan kerajaan Filipina pada 27 Mac lalu.
MILF yang pada awalnya dikenali sebagai 'barisan kepimpinan baharu' merupakan serpihan MNLF yang terbentuk pada 1984 susulan perselisihan faham dalam barisan kepimpinan.
Alonto tidak menolak kemungkinan kedua-dua pertubuhan itu akan bersatu sebagai sebuah parti politik pada masa akan datang, namun buat masa ini kedua-duanya akan mendaftar sebagai parti berbeza.
"MILF dan MNLF tetap akan berperanan sebagai instrumen dan ejen bagi Bangsamoro," katanya.
Alonto turut mendedahkan bahawa perbincangan mengenai penggabungan dan perpaduan sedang berlangsung antara kedua-dua organisasi dan bagi pilihan raya akan datang wujud persetujuan agar setiap organisasi bertanding di kawasan yang sudah ditetapkan untuk masing-masing.
"Saya tidak nampak ada jurang yang besar atau konflik. Saya juga tidak nampak perselisihan yang serius, kami anggap mereka setara, kami bersaudara, kami daripada satu pergerakan, kami berkongsi satu perjuangan," katanya yang sedang mengadakan lawatan kerja di sini.