Misteri kelibat kanggaru melompat di lebuh raya di India
Agensi
Mei 6, 2022 14:45 MYT
Mei 6, 2022 14:45 MYT
KECOH seketika apabila kelibat tiga ekor kanggaru dilapor ditemukan di sebatang lebuh raya berdekatan kawasan hutan di timur India baru-baru ini sehingga mencetuskan kejutan dalam kalangan penduduk setempat.
Memetik laporan media antarabangsa, haiwan yang berasal dari Australia itu dilihat melompat-lompat di lebuh raya yang menjadi laluan utama ke bandar hab wilayah Siliguri.
Bagaimanapun, Al-Jazeera melaporkan salah seekor kanggaru yang dinamakan sebagai Lucas dilaporkan mati akibat akibat dehidrasi dan kekurangan zat makanan sehari selepas haiwan itu diselamatkan.
Sementara dua lagi 'rakan'nya, Alex dan Xavier berjaya diselamatkan ditempatkan di zoo Kolkata, ketika ini.
Ketika kejadian, haiwan malang itu ditemukan mengalami beberapa kecederaan serius di badan dan telah dihantar ke Taman Safari Bengal untuk rawatan lanjut.
Pegawai hutan, Hari Krishnan mengakui bahawa kemunculan kanggaru di kawasan berkenaan merupakan kejadian pertama.
"Kanggaru ditemui berada di tepi jalan dalam keadaan yang sangat tertekan.
"Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan kerana kami tidak pernah melihatnya sebelum in walaupun di zoo. Kami sangat berhati-hati dalam mengendalikan mereka atau (bagi mengelakkan) menimbulkan trauma kepada mereka," katanya dipetik sebagai berkata.
Susulan kejadian tersebut, sebuah pasukan telah dibentuk bagi menyiasat perkara itu, yang disifatkan luar biasa itu.
Segelintir pihak berpandangan kes tersebut dipercayai ada kaitan dengan aktiviti pemerdagangan haiwan, atau kemungkinan haiwan itu sedang diangkut ke Switzerland sebagai ujian bagi industri farmaseutikal dan kosmetik.