Misteri kehilangan Jamal Khashoggi: Saudi tolak ancaman negara Barat

Astro Awani
Oktober 14, 2018 06:30 MYT
Jamal Khashoggi bercakap pada satu acara anjuran Middle East Monitor di London, Britain, 29 Sept, 2018. Middle East Monitor/Handout via REUTERS
ARAB Saudi pada Ahad menolak sebarang ancaman dalam bentuk ekonomi atau politik yang dibuat terhadap negara itu, susulan kehilangan wartawan Jamal Khashoggi.
"Kerajaan ini menolak sekeras-kerasnya sebarang ancaman dan cubaan untuk melemahkannya, sama ada melalui sekatan ekonomi, tekanan politik atau tuduhan palsu.
"Kerajaan ini juga menegaskan bahawa jika ia menerima apa-apa tindakan, ia akan bertindak balas dengan tindakan yang lebih hebat.
"Dan ekonomi kerajaan ini berpengaruh dan memainkan peranan penting dalam ekonomi global," seorang pegawai kerajaan dipetik sebagai berkata.
Kenyataan ini menyusul reaksi beberapa negara Barat yang mahu siasatan penuh dijalankan berhubung kehilangan Khashoggi.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah memberi amaran akan menghukum Arab Saudi sekiranya negara itu didapati bertanggungjawab membunuh wartawan kanan itu.
Pada Ahad, Menteri Luar United Kingdom, Perancis dan Jerman mendesak kehilangan Khashoggi disiasat.
Britain dan AS turut mempertimbangkan untuk memboikot sidang kemuncak antarabangsa yang dijadual pada hujung bulan ini.
Khashoggi, warga Arab Saudi yang kini menetap di AS serta kolumnis Washington Post, merupakan antara pengkritik lantang pentadbiran Riyadh.
Dia dilaporkan hilang sejak awal bulan ini selepas kali terakhir kelibatnya dikesan memasuki Bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober.
#Amerika Syarikat #ancaman #Arab Saudi #Donald Trump #ekonomi #hilang #Istanbul #Jamal Khashoggi #kerajaan #politik #sekatan #siasatan #tekanan #United Kingdom #wartawan #Washington
;