Misteri ikan pari bunting tanpa spesies jantan
Sinar Harian
Februari 25, 2024 09:20 MYT
Februari 25, 2024 09:20 MYT
RALEIGH: Kejadian di sebuah akuarium penyelidikan di North Carolina, Amerika Syarikat (AS) ini boleh dianggap pelik tapi benar.
Seekor ikan pari bulat digelar Charlotte dikatakan bunting tanpa pasangan jantan yang sama spesies dengannya.
Pada mulanya, saintis di Team ECCO Aquarium & Shark Lab di Hendersonville menyangka 'baby bump' pada ikan itu ialah tumor.
"Ujian ultra bunyi mengesahkan Charlotte sedang bunting. Kami semua terkejut kerana ia hanya dikelilingi beberapa ekor jerung dalam akuarium yang sama," kata Pengarah Eksekutif di premis itu, Brenda Ramer.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan ke atas Charlotte mendapati terdapat kesan seperti ia mungkin mengawan dengan jerung.
"Ia mungkin senario yang berlaku walaupun agak tidak masuk akal. Charlotte sudah sampai masa untuk membiak dan ia tidak memerlukan spesies yang sama," jelasnya. - Sinar Harian memetik agensi