'Mission: Impossible' saman syarikat insurans selepas tujuh sekatan pergerakan COVID-19

Agensi
Ogos 31, 2021 15:12 MYT
Penggambaran siri aksi yang dibintangi aktor Tom Cruise itu ditunda sebanyak empat kali di Itali, dan tiga kali di United Kingdom antara Februari 2020 hingga Jun 2021. - Reuters
LOS ANGELES: Produksi filem terbaru Mission: Impossible telah ditangguh sebanyak tujuh kali akibat pandemik COVID-19, menurut satu saman yang difailkan pada Isnin.
Tuntutan saman itu mendakwa syarikat insurans filem berkenaan gagal membayar kos bagi enam daripada tujuh penangguhan tersebut hingga mengakibatkan kerugian besar.
Dalam saman yang difailkan Paramount Pictures di Mahkamah Persekutuan AS di California itu, penggambaran siri aksi yang dibintangi aktor Tom Cruise itu ditunda sebanyak empat kali di Itali, dan tiga kali di United Kingdom antara Februari 2020 hingga Jun 2021.
Penangguhan itu adalah kerana terdapat kes positif dalam ujian saringan dalam kalangan pelakon dan juga kru produksi, dan juga akibat kuarantin dan sekatan pergerakan yang dikenakan di negara-negara lokasi penggambaran.
Tuntutan saman ke atas Federal Insurance yang berpangkalan di Indiana itu antara lain adalah disebabkan pelanggaran kontrak, di mana sepatutnya mereka bersetuju untuk membayar sejumlah AS$5 juta pada penangguhan pertama.
Federal Insurance belum memberikan sebarang komen atas perkembangan tersebut.
Cruise, yang juga penerbit filem, sangat berang sewaktu di set Mission: Impossible 7 di England pada Disember lalu atas sebab pelanggaran protokol COVID-19, lantas mengancam untuk memecat pelakon dan kru yang tidak mengambil serius dalam perkara itu.
Mission: Impossible merupakan salah satu francais terbesar di Hollywood, dengan edisi Mission: Impossible – Fallout pada tahun 2018 berjaya meraih kutipan box-office sejumlah lebih AS$791 juta di seluruh dunia.
Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan banyak produksi filem dan televisyen tergendala. Kos ujian saringan, konsultasi dan kelengkapan perlindungan pula telah menambah perbelanjaan.
Paramount dalam tuntutan saman berkata, syarikat insurans telah berhujah bahawa 'tiada bukti yang menunjukkan bahawa pelakon dan tenaga kerja produksi tidak boleh meneruskan kerja mereka, walaupun ada yang telah dijangkiti COVID-19 dan merisikokan orang lain dalam produksi'.
Paramount tidak menjelaskan kos sebenar kerugian akibat perintah sekatan pergerakan yang dikenakan, namun jumlahnya lebih daripada AS$5 juta yang dibayar syarikat insurans itu pada penangguhan kali pertama pada Februari 2020.
Filem Mission: Impossible 7 dijadual untuk ditayangkan pada Mei 2022.
#Mission Impossible #Tom Cruise #tuntutan saman #syarikat insurans #COVID-19
;