Miss Universe ubah peraturan, bakal benarkan semua wanita dewasa bertanding
Agensi
September 14, 2023 17:03 MYT
September 14, 2023 17:03 MYT
ORGANISASI Miss Universe mengumumkan wanita dewasa dari semua peringkat umur akan dibenarkan bertanding tidak lama lagi.
Pemenang Miss Universe 2022, R’Bonney Gabriel mengumumkan pembaharuan itu di Minggu Fesyen New York pada Selasa, lapor Women's Wear Daily.
Pembaharuan itu secara rasmi akan berlaku pada 2024, menurut satu kenyataan ringkas yang dikongsi di akaun Instagram Miss Universe.
"Bermula 2024, semua wanita dewasa akan layak untuk bersaing merebut gelaran Miss Universe," tulis mereka.
Had usia peserta pertandingan itu sebelum ini ialah 18 hingga 28 tahun. Gabriel ialah peserta tertua yang dinobatkan sebagai Miss Universe, iaitu ketika dia berusia 28 tahun.
Keputusan untuk tidak lagi meletakkan had umur untuk peserta Miss Universe antara perubahan terbaharu yang dibuat organisasi berkenaan.
Bermula pada tahun 2022, organisasi itu membenarkan ibu dan wanita yang sudah berkahwin untuk bersaing.
Pada 2012, Miss Universe menamatkan larangannya terhadap peserta transgender.