Misi WHO temui petunjuk penularan lebih meluas di Wuhan pada 2019
Astro Awani
Februari 14, 2021 05:54 MYT
Februari 14, 2021 05:54 MYT
GENEVA: Penyiasat dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam misi mencari asal-usul penyakit COVID-19 di China dilapor menemui petunjuk wabak yang lebih meluas di Wuhan pada bulan Disember 2019.
Cubaan mereka untuk meminta akses kepada ratusan ribu sampel darah dari wilayah yang dipercayai lokasi terawal penularan virus bagaimanapun gagal setelah tidak mendapat kebenaran China.
Ketua penyiasat untuk misi WHO, Peter Ben Embarek memberitahu CNN bahawa misi itu telah menemui beberapa petunjuk penularan meluas pada dua tahun lepas.
Ia termasuk membuktikan untuk pertama kalinya terdapat puluhan strain virus tersebut di Wuhan pada ketika itu.
Pasukan itu juga berpeluang bercakap dengan pesakit pertama, seorang pekerja pejabat berusia 40-an tanpa sejarah perjalanan, yang dilaporkan dijangkiti pada 8 Disember.
Embarek, yang baru saja kembali ke Switzerland dari Wuhan, memaklumkan kepada CNN "Virus ini tersebar luas di Wuhan pada bulan Disember, yang mana merupakan penemuan baharu."
Pakar keselamatan makanan WHO itu menambah pasukannya telah dimaklumkan saintis China dengan 174 kes koronavirus di dan sekitar Wuhan pada bulan Disember 2019.
Daripada jumlah tersebut, 100 daripadanya telah disahkan oleh ujian makmal, dan 74 lagi melalui diagnosis klinikal simptom pesakit.
Embarek berkata ada kemungkinan penyakit ini telah menjangkiti sekitar 1,000 orang di Wuhan pada Disember dua tahun lalu.
"Kami belum melakukan pemodelan tentang itu, tetapi kita tahu, secara dasarnya, daripada jumlah populasi yang dijangkiti, kira-kira 15 peratus merupakan kes yang teruk, dan sebahagian besarnya adalah kes ringan," kata Embarek dalam temu bual eksklusif bersama CNN.
Embarek berkata misi yang terdiri daripada 17 saintis WHO dan 17 saintis Cina itu telah memperluas jenis bahan genetik virus yang dikaji daripada kes-kes koronavirus awal pada bulan Disember 2019.
Ini membolehkan mereka melihat sampel genetik separa, dan bukan sekadar sampel lengkap, katanya.
Hasilnya, mereka dapat mengumpulkan, untuk pertama kalinya, 13 urutan genetik yang berbeza daripada virus SARS-COV-2 mulai Disember 2019 yang dapat memberikan petunjuk tentang geografi dan penularan wabak itu sebelum Disember.
"Sebahagian mereka dari pasar, sebilangan pula tiada kaitan dengan pasar.
"Ini adalah dapatan sebagai sebahagian daripada misi kami ... sebahagian daripada interaksi yang kami lakukan bersama," kata Embarek.
Embarek sebelum ini menafikan teori virus itu dihasilkan di makmal China.
Penyiasat WHO juga percaya virus berkenaan berasal dari haiwan sebelum dipindahkan kepada manusia.
Walaupun dapatan asal merumuskan virus berasal dari kelawar, namun ia dipercayai bukan dari Wuhan.
Pasukan itu turut menyarankan China menyiasat rangkaian pengangkutan produk sejuk beku, kerana disyaki menjadi punca pemindahan virus.
Misi WHO bermula Januari lalu susulan rundingan beberapa bulan dengan Beijing.
Siasatan misi pasukan WHO ini dipantau rapat oleh pihak berkuasa China.
Laporan pasukan misi mencari asal-usul koronavirus di China akan diterbitkan minggu depan.
#WHO
#COVID-19
#asal-usul penyakit
#sampel darah
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#koronavirus
#Peter Ben Embarek