Misi UNRWA perlu diteruskan sehingga konflik Asia Barat selesai - Rusia

Bernama
Februari 1, 2025 20:50 MYT
Kementerian Luar Rusia turut menyatakan bahawa keputusan Israel untuk melarang aktiviti UNRWA amat mengecewakan. - AP
MOSCOW: Moscow menegaskan bahawa misi Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) perlu diteruskan sehingga penyelesaian damai muktamad dicapai dalam konflik Palestin-Israel, lapor Agensi Berita Rusia (TASS).
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Kementerian Luar Rusia berhubung larangan terhadap aktiviti UNRWA.
"Moscow berpendirian bahawa misi UNRWA, yang selama beberapa dekad telah menyokong rakyat Palestin di wilayah yang diduduki dan negara jiran serta menjamin hak asas pelarian untuk kembali, harus diteruskan sehingga penyelesaian damai muktamad bagi konflik Palestin-Israel dicapai," menurut kementerian itu.
Kementerian Luar Rusia turut menyatakan bahawa keputusan Israel untuk melarang aktiviti UNRWA amat mengecewakan.
"Tindakan sewenang-wenang seperti ini, yang membawa kesan kemanusiaan paling serius terhadap rakyat Palestin, amat mengecewakan dan wajar dikecam," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#kementerian luar rusia #konflik Asia Barat #UNRWA #Palestin
;