Misi PBB tiba di Nagorno-Karabakh selepas 30 tahun

Bernama
Oktober 1, 2023 22:36 MYT
Misi yang merangkumi wakil pelbagai agensi PBB itu akan berada di sana untuk menilai keperluan kemanusiaan penduduk tempatan. - Gambar AP
MOSCOW: Anggota misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kini berada di Stepanakert, Nagorno-Karabakh yang juga dikenali sebagai Khankendi, buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, lapor Sputnik memetik Agensi Akhbar Azerbaijan (APA).
Misi yang merangkumi wakil pelbagai agensi PBB itu akan berada di sana untuk menilai keperluan kemanusiaan penduduk tempatan.
Pada 19 Sept, Azerbaijan melancarkan apa yang dipanggil "aktiviti antipengganas peringkat tempatan" di Nagorno-Karabakh.
Menerusi pengantaraan oleh pasukan pengaman Rusia, pihak berkuasa Nagorno-Karabakh bersetuju untuk meletakkan senjata dan menyerahkannya kepada Baku pada hari berikutnya.
Armenia berkata ia bukan sebahagian daripada rundingan, tetapi kerajaan Azerbaijan berikrar akan berusaha untuk memastikan "integrasi" rakyat Armenia Nagorno-Karabakh yang memilih untuk kekal di wilayah itu.
Pada 28 Sept, pemimpin terbaharu wilayah yang memisahkan diri, Samvel Shahramanyan, secara rasmi menggugurkan semua tuntutan kemerdekaan daripada Baku, dan mengumumkan bahawa Republik Nagorno-Karabakh yang diisytiharkan sendiri yang juga dikenali sebagai Artsakh, akan secara rasmi tidak lagi wujud pada 1 Jan 2024.
-- BERNAMA
#PBB #penduduk tempatan #pihak berkuasa #pasukan pengaman
;