Misi Freedom Flotilla ke Genting Gaza
Sinar Harian
Julai 19, 2018 13:39 MYT
Julai 19, 2018 13:39 MYT
Aktivis dari seluruh dunia berkumpul di bandar Palermo di Itali untuk terlibat dalam persiapan akhir sempena kempen Freedom Flotilla pada tahun ini.
Mereka yang terlibat dalam kempen itu bersatu di bawah gerakan perpaduan direka untuk meningkatkan semangat penduduk Palestin di samping memaparkan kepada dunia situasi meruncing di Genting Gaza yang berada di bawah kepungan Israel selama lebih 10 tahun.
Kesemua empat kapal Freedom Flotilla itu tiba di Palermo pada Isnin lalu selepas ia berlayar dari Scandinavia ke Sicily selama lebih dua bulan.
Difahamkan, ia telah melalui perjalanan sejauh lebih 7,400 kilometer dan berhenti di 15 pelabuhan Eropah.
Hari ini, kapal al-Awda, Freedom, Mairead dan Palestin itu akan berlayar ke Genting Gaza.
"Kami mahu menunjukkan kepada penduduk Palestin, masih ada orang yang peduli dengan keadaan mereka.
"Misi bantuan kemanusiaan ini adalah gerakan akar umbi dan multinasional untuk mencabar sekatan haram Israel ke atas wilayah Gaza dan memberi kesedaran kepada masyarakat antarabangsa," kata salah seorang peserta, Joe Meadors.
Sementara itu, rakannya menegaskan mereka menyokong hak asasi manusia dan cuba untuk membuka sempadan, sekali gus menghentikan peperangan.
Difahamkan, aktivis tempatan dan penganjur protes propelarian turut menyertai kumpulan tersebut sebagai tanda solidariti untuk menekankan keperluan inisiatif lebih lanjut seperti ditunjukkan misi flotilla tersebut. - Agensi
#aktivis
#bantuan
#flotila
#Freedom Flotilla
#Gaza
#hak asasi manusia
#Israel
#Itali
#kapal layar
#kempen
#Palermo
#Palestin