Misi Freedom Flotilla: Besar harapan untuk sampai ke bumi Palestin demi hulurkan bantuan
Nursyazwani Saiful Sham
April 17, 2024 12:00 MYT
April 17, 2024 12:00 MYT
KUALA LUMPUR : Besar harapan bagi misi Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla untuk sampai ke bumi Palestin bagi menyalurkan bantuan yang amat diperlukan ketika ini di sana.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Fauziah Mohd Hasan menyifatkan harapan itu adalah gambaran senario terbaik yang dibawa oleh gerakan Freedom Flotilla Coalition (FFC).
“Senario terbaik, kita doa-doa sebab kita minta dan pasang niat untuk kapal ini terus ke Gaza. Itu niat yang kita pasang.
“Kita ada buat beberapa perancangan untuk pastikan seluruh dunia fokuskan kepada Misi Freedom Flotilla dan menekan Israel dan mungkin Amerika Syarikat untuk membenarkan kami masuk dengan sejahtera tanpa halangan untuk hantar barangan ini ke Gaza.
“Ini kerana ‘we are peace loving people’. Ini misi keamanan yang mana misi nak hantar barang ke Gaza. Tiada senjata, tiada benda lain cuma benda keperluan yang sangat mendesak yang diperlukan di Gaza,” katanya dalam AWANI Pagi pada Rabu.
Pada masa sama, ujarnya, FFC juga sudah melaksanakan mekanisme terbaik bagi memastikan kesejahteraan perjalanan mereka dengan meminta bantuan pempengaruh di seluruh dunia untuk menguar-uarkan misi ini.
Justeru, pihaknya juga berharap semua umat Islam terutamanya di Malaysia untuk sama-sama memanjat doa memohon kelancaran perjalanan misi ini agar objektifnya dapat dicapai.
Tiga buah kapal akan belayar pada April 2024, terdiri daripada satu kapal kargo 5,000 tan dan dua kapal penumpang yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang.
Kapal-kapal ini akan membawa bantuan kemanusiaan yang mendesak seperti bantuan perubatan, pek makanan, pakaian, khemah perlindungan dan beberapa buah kenderaan termasuk lapan buah ambulans.
FFC telah menerima 11,000 permohonan terdiri lebih daripada 30 buah negara dan seramai 1,000 peserta telah dipilih termasuk 20 orang daripada Malaysia terdiri daripada pengamal media, doktor dan aktivis kemanusiaan.
Bagaimanapun, misi Break the Seige of Gaza Freedom Flotilla ini turut menjangkakan akan berlakunya senario buruk termasuk ditahan oleh pihak Israel.
Justeru itu, Dr Fauziah berkata, aktivis yang terlibat perlu melakukan persiapan rapi dari segi mental dan fizikal.
“Ramai yang tanya saya takut tak kena tangkap dgn Israel, seperti yang saya katakan kita memang sangat bersedia untuk ditangkap.
“Ada latihan simulasi di mana askar datang dengan kasar, akan ajar macam mana dan tengok macam mana kita beri reaksi.
“Semua itu akan diajar melalui simulasi latihan yang akan diadakan untuk kita bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, peserta yang menyertai misi ini perlu melakukan saringan kesihatan bagi memastikan tahap fizikal mereka pada tahap optimum.
Ujarnya lagi, persiapan dari segi mental peserta juga turut menuntut mereka untuk redha dengan sebarang kejadian yang akan berlaku kelak.