Misi diplomatik Obama berakhir di Jordan

Agensi
Mac 23, 2013 07:36 MYT
Presiden Barack Obama menamatkan lawatannya ke Asia Barat, dengan kunjungan ke kota purba Petra di Jordan.
Beliau mengakhiri misi diplomatik dengan bertemu Raja Jordan, Raja Abdullah, yang menyaksikan kesediaan Washington menambah dana bantuan 200 juta dolar bagi membantu pelarian Syria di negara itu.
Lawatan Obama ke kota purba ini adalah kemuncak aturcara di Asia Barat.
Obama berada di rantau Asia Barat selama empat hari lawatannya bermula di Tel Aviv, Israel, diikuti ke Tebing Barat Palestin, dan kemudian ke Jordan.
Kepada penganalisis, lawatannya ini melakar beberapa keputusan yang positif dan sebaliknya.
Pertama, proses pemulihan hubungan diplomatik Israel-Turki, yang tegang susulan insiden Mavi Marmara pada 2010.
Israel yang selama ini bertegas serangan komando ke atas kapal itu wajar, akhirnya tunduk memohon maaf secara terbuka kepada Ankara.
Tel Aviv juga menjanjikan pampasan kepada warga Turki yang terbunuh dalam serangan tersebut.
Namun, isu rundingan damai Israel-Palestin masih tiada prospek positif.
Obama meminta Palestin menggugurkan tuntutan meminta Israel menghentikan pembinaan penempatan haram, sebagai syarat untuk memulakan semula rundingan.
Namun, permintaan itu ditolak bulat-bulat oleh Palestin.
Palestin sebaliknya bertegas, tidak akan berkompromi dengan syarat itu, berdasarkan kepentingan warganya yang mempunyai hak untuk hidup aman.
#Barack Obama #Israel #raja abdullah #Raja Jordan #Turki
;