Misi diplomatik India di Colombo nafi beberapa ahli politik Sri Lanka lari ke India
Bernama
Mei 11, 2022 14:55 MYT
Mei 11, 2022 14:55 MYT
NEW DELHI: Misi diplomatik India di Colombo menafikan laporan beberapa ahli politik Sri Lanka melarikan diri ke India ketika Sri Lanka menyaksikan keganasan yang semakin meningkat dan bergelut untuk mengatasi krisis kewangannya yang meruncing.
Suruhanjaya Tinggi India di Colombo berkata ia menerima khabar angin yang tersebar di media dan media sosial bahawa "orang politik tertentu dan keluarga mereka" melarikan diri ke India.
"Itu adalah laporan palsu, tanpa sebarang kebenaran atau bukti. Suruhanjaya Tinggi menafikan sekeras-kerasnya," kata kenyataan itu.
Beberapa ahli politik, termasuk ahli parlimen dan bekas menteri, menjadi sasaran dalam protes antikerajaan yang berterusan di seluruh Sri Lanka.
Penunjuk perasaan membakar beberapa rumah milik ahli politik, termasuk kediaman bekas perdana menteri Mahinda Rajapaksa di bandar Kurunegala.
Mahinda, yang meletak jawatan pada Isnin, diselamatkan dalam operasi tentera sebelum subuh pada Selasa daripada kediaman rasmi perdana menteri "Temple Trees" di Colombo, menurut laporan itu.
India mempunyai hubungan politik dan ekonomi yang erat dengan Sri Lanka dan memberikan bantuan dan pinjaman untuk membantu jirannya di seberang Selat Palk di luar pantai tenggara India.
Ada kalanya timbul laporan yang tidak berasas mengenai peranan India di Sri Lanka.
Bulan lalu, Kementerian Pertahanan Sri Lanka dan Suruhanjaya Tinggi India menafikan spekulasi bahawa India menghantar tentera untuk menjaga ketenteraman awam di negara pulau itu.
-- BERNAMA